WASHINGTON: Sebuah buku edisi pertama siri Harry Potter yang jarang didapati, dijual pada harga 356,000 pound (RM1.98 juta) dalam satu acara lelong di Amerika Syarikat (AS).
Menurut firma Heritage Auctions berpangkalan di Dallas, Texas, jumlah itu merupakan harga paling tinggi pernah dicapai untuk koleksi karya fiksyen abad ke-20.
Lapor Daily Mail, buku Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang dilelongkan itu merupakan antara 500 salinan cetakan pertama yang dicetak pada tahun 1997.
Kira-kira 300 buku telah diberikan kepada perpustakaan dan sekolah manakala 200 lagi diserahkan kepada individu.
Novel itu mengandungi beberapa kesalahan ejaan termasuk ‘tongkat sakti’ yang dicetak dua kali pada senarai barangan diperlukan Harry untuk ke Hogwarts pada muka surat 53 di buku tersebut.
Kesilapan cetakan perkataan ‘Wizardry and witchcraft’ juga kelihatan pada kulit belakang buku tersebut.
Naskhah itu dijual oleh seorang pengumpul buku warga AS yang memperoleh novel terbabit pada tahun 1998.
Firma Heritage Auctions memaklumkan pembidaan bermula pada harga 50,000 pound (RM279,448) dan berterusan sehingga ia berjaya dijual kepada seorang pembeli sebanyak 356,000 pound (RM1.98 juta).
Jelas firma itu, novel tersebut berjaya memecahkan rekod harga buku edisi pertama Harry Potter yang dijual sebelum ini pada harga 125,000 pound (RM698,620) di Edinburgh tahun lalu.
Sebelum ini, harga tertinggi pernah dicatatkan dalam jualan lelongan bagi buku fiksyen abad ke-20 adalah edisi pertama The Great Gatsby (1925) hasil tulisan F Scott Fitzgerald yang memperoleh sebanyak 285,000 pound (RM1.59 juta) di New York pada 2014.