JAKARTA: Doddy Prasetyo, seorang doktor yang didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral apabila mencampurkan air maninya ke dalam makanan, dituntut enam bulan penjara oleh pendakwa raya dalam perbicaraan di Mahkamah Daerah Semarang hari ini.
CNN Indonesia melaporkan, dalam sidang tertutup yang diketuai Ketua Majlis Hakim, Gatot Sarwadi, pihak pendakwa raya menyatakan tertuduh bersalah melanggar Perkara 281 Kanun Jenayah mengenai kesopanan dengan sengaja mencampurkan sperma ke dalam makanan yang dimakan orang lain.
“Defendan didapati bersalah melanggar Perkara 281 Kanun Jenayah sehingga sepatutnya dikenakan hukuman penjara enam bulan,” kata Pendakwa Raya Novie Amalia Nugrahaeni.
Tuntutan pendakwa raya itu dikecam Lembaga Keadilan Gender dan Hak Asasi Manusia (LRC-KJHAM) sebagai pihak yang mewakili mangsa.
LRC-KJHAM menganggap tuntutan pihak pendakwa adalah terlalu ringan di mana Artikel 281 Kanun Jenayah membawa hukuman penjara maksimum dua tahun lapan bulan.
“Sedihnya baru 6 bulan. Sepatutnya mengikut Perkara 281 Kanun Jenayah mengenai maksiat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun lapan bulan,” kata peguam mangsa yang juga kakitangan kumpulan itu, Nia Lishayati, selepas perbicaraan di Mahkamah Daerah Semarang.
Nia juga meminta ketelusan dalam kes tidak bermoral di mana defendan adalah seorang doktor yang sedang mengikuti pengajian pendidikan kepakaran.
Sebelum ini, Doddy Prasetyo didakwa melakukan perbuatan memalukan iaitu mencampurkan spermanya ke dalam makanan orang lain.
Tingkah laku kurang sopan itu dilakukan di sebuah rumah sewa di kawasan Kintelan, Semarang.
Selain doktor itu, rumah tersebut turut disewa Kukuh dan isterinya, Dwi.
Kukuh merupakan rakan sekerja doktor berkenaan dan juga seorang doktor yang kini sedang mengikuti pendidikan kepakaran.
Sekitar Oktober 2020, Dwi merasakan satu keanehan di mana menu hidangan yang dihidangkan kepada suaminya di ruang makan yang disewa sentiasa berselerak atau bertukar posisi selepas dia masuk ke dalam bilik.
Kerana berlaku beberapa kali, pada suatu hari Dwi ingin tahu dan meletakkan mod kamera pada Ipad miliknya yang diletakkan di ruang makan.
Dwi cuba melihat rakaman video dari Ipad dan terkejut apabila mendapat tahu tertuduh sedang melakukan masturbasi di hadapan biliknya dan spermanya dimasukkan ke dalam makanan yang dimasak Dwi yang terhidang di meja makan.
Berasa meluat dan sakit hati, Dwi akhirnya mengadu kepada LRC-KJHAM yang disusuli dengan laporan polis Jawa Tengah.