Covid-19: Ratusan penduduk Mexico tuntut ganti rugi dari China, WHO - Utusan Malaysia

Covid-19: Ratusan penduduk Mexico tuntut ganti rugi dari China, WHO

GOLONGAN petani mengadakan demonstrasi bagi membela kematian Jessica Silva yang terbunuh semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan di Delicias, Mexico, 20 September lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO: Beberapa negara di dunia seperti Colombia, Argentina dan terbaharu Mexico menuntut ganti rugi dari China dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berhubung kematian akibat Covid-19.

Pejabat Undang-Undang Antarabangsa Poplavsky di Buenos Aires giat melaksanakan kempen dalam media sosial di Mexico dengan slogan ‘Adakah anda menderita akibat Covid-19? Ketahui hak anda’.

Wakil Poplavsky di Mexico, Denisse Gonzalez berkata, tuntutan itu difailkan berhubung kecuaian kedua-dua pihak iaitu negara China dan WHO dalam menguruskan wabak yang mengancam seluruh dunia.

Firma guaman yang mempunyai cawangan di Amerika Latin, Amerika Syarikat (AS) dan Dubai itu menjelaskan pihaknya turut mendaftar tuntutan dari penduduk negara lain termasuk Colombia dan Argentina.

Jelasnya, tuntutan berjumlah jutaan dolar itu akan dibentangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva yang mendakwa berlaku pelanggaran Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Mereka berusaha mendapatkan pampasan kewangan antara AS$200,000 (RM834,315) akibat jatuh sakit kerana Covid-19 hingga AS$800,000 (RM3.3 juta) melibatkan kes kematian akibat virus itu,” katanya.

Firma guaman tersebut yakin tuntutan tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk diselesaikan.

Beliau juga berharap negara seperti AS, Britain atau Itali menyokong tuntutan sama daripada rakyatnya sendiri kerana memberi manfaat kepada pampasan individu lain.

WHO PERTAHAN TINDAKAN

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mempertahankan tindak balas awal organisasi itu terhadap penularan wabak Covid-19 dengan menegaskan sistem kecemasan kesihatannya ‘bertindak segera’.

Wabak koronavirus menyebabkan 5.4 juta penduduk dunia maut sejak kes pertama dikesan di bandar Wuhan, China, Disember 2019.

Mexico merekodkan hampir 300,000 kes kematian akibat Covid-19 sekali gus menjadikan antara negara di dunia paling tinggi dengan rekod kematian.

Sehingga kini, Mexico turut mencatatkan pertambahan kes positif sebanyak 3.95 juta.

 PELUANG TIPIS

Bagaimanapun, Pakar Undang-Undang Antarabangsa di National Autonomous University of Mexico, Lourdes Marleck Rios Nava berpandangan peluang untuk memenangi tuntutan pampasan tersebut adalah tipis.

“Orang ramai tahu mereka tidak akan berjaya, namun tiba-tiba mereka memfailkan tuntutan mahkamah itu,” katanya.

LUAHAN MANGSA

Berasa kecewa dengan kehilangan anak perempuan akibat Covid-19, seorang pesara, Jaime Michaus, 63, berkata, dia tekad menyertai ratusan penduduk Mexico lain bagi menuntut ganti rugi dari Kerajaan China dan WHO.

“Saya tidak pasti sama ada saya buat perkara yang betul.

“Perasaan saya bercampur baur kerana kelihatan seperti saya mencari keuntungan atas kematian anak sendiri,” ujarnya.

Menurut Michaus, yuran peserta akan dilindungi oleh peratusan daripada sebarang pampasan diterima.

Lelaki itu bagaimanapun enggan mendedahkan peratusan yang dipersetujui untuk dibayar sekiranya kes tersebut berjaya, namun menjelaskan ia adalah bayaran yang adil.

Seorang wanita berusia 35 tahun yang enggan dikenali berkata, dia turut menuntut pampasan selepas mendapat jangkitan wabak itu.

“Saya tidak pernah menderita tekanan darah tinggi dan sekarang ia menjadi semakin berbahaya.

“Kini, saya hanya mampu mendengar bunyi dari sebelah telinga dan pemandangan saya menjadi kabur dan terpaksa pakai cermin mata,” luahnya.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya