TAHUN 2021 hampir melabuhkan tirai dan 2022 pula bakal menjelma dalam tempoh kurang 30 hari.
Namun, hubungan tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat masih belum reda, malah semakin banyak provokasi dilancarkan untuk ‘saling memburukkan’ kedua-dua negara.
Kiranya, semakin banyak AS menegur China yang disifatkan kian agresif dalam mengukuhkan ketenteraan dan penguasaan di wilayah Laut China Selatan, semakin menjadi-jadi pula Beijing membalasnya dengan amaran demi amaran.
Dengan yang terbaharu, AS mengumumkan boikot diplomatik terhadap temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bakal berlangsung di Beijing pada 2022.
AS menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas Washington menolak sekeras-kerasnya penindasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap penduduk Islam di Xinjiang.
AS menyifatkan penindasan itu sebagai ‘penghapusan etnik Uighur’ yang majoritinya beragama Islam.
Hubungan kedua-dua negara itu semakin memburuk sejak era pentadbiran Donald Trump apabila bekas presiden itu mengenakan lebih banyak sekatan ekonomi terhadap Beijing.
Kini, pimpinan Washington diterajui Joe Biden yang sebelum ini berikrar untuk menjadi pemimpin yang bersifat ‘menyeluruh dan bertoleransi’ diharap dapat meredakan hubungan keruh itu.
MAHU CHINA TERUS-TERANG
Penolong Setiausaha Negara AS untuk Asia Timur dan Hal Ehwal Pasifik, Daniel Kritenbrink berkata, apa yang di mahukan Washington ketika ini adalah untuk Beijing berterus terang dalam menyatakan ‘niat sebenar mereka’ kepada dunia.
Katanya, langkah itu penting untuk memastikan China tidak mempunyai agenda tersembunyi yang boleh menjejaskan kestabilan dan kedaulatan serantau, terutamanya di Asia Pasifik.
“Pengukuhan ketenteraan dan sistem senjata nuklear China ketika ini membimbangkan AS dan saya percaya, negara serantau juga berpendapat begitu,” katanya dalam sesi meja bulat bersama media, baru-baru ini.
HUBUNGAN PERSAINGAN
Dalam pada itu, Kritenbrink menegaskan sikap agresif China dalam tuntutan wilayah Laut China Selatan secara tidak langsung menunjukkan Beijing tidak menghormati kedaulatan negara serantau.
Jelasnya, jika mahu menuntut, bertindak adil dan bukannya ‘buat sesuka hati’ untuk menunjukkan penguasaan.
“Bersaing secara adil dan sihat. Itulah yang menunjukkan kewibawaan sesebuah negara dan bukannya bertindak melulu.
“Tindakan melulu China bukan sahaja mencetuskan ketegangan dengan negara yang membuat tuntutan, malah turut menjejaskan sumber tenaga yang ada di kawasan perairan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, Kritenbrink akui, beliau melihat hubungan China dengan AS sebagai satu persaingan dan kedua-dua negara perlu saling bersikap terbuka.
Katanya, adalah normal untuk sesebuah negara bersaing dengan negara lain, sama ada dari segi ekonomi, kestabilan politik mahu pun pembangunan sosial.
Namun, beliau menyatakan China lebih suka menyembunyikan agenda sebenar mereka sehingga mencetuskan kebimbangan banyak negara lain.
PERANG DENGAN TAIWAN
Tindakan provokasi dan pencerobohan ruang udara Taiwan oleh tentera China sejak kebelakangan ini turut mendapat perhatian AS dan negara itu tidak akan ‘duduk diam dan hanya melihat’ mengenai apa yang berlaku.
Jelas Kritenbrink, sebarang tindakan China untuk menawan China hanya akan menyebabkan ‘akibat yang teruk’ kepada negara itu.
Katanya, peperangan antara Taiwan dan China hanya mencetuskan situasi tidak stabil di rantau Asia Pasifik, selain menegaskan AS sentiasa memberi sokongan penuh kepada Taiwan untuk mempertahankan kedaulatan mereka daripada ancaman luar.
JANGAN PILIH AS ATAU CHINA
Sementara itu, Kritenbrink berpandangan, hubungan AS dan China boleh dipulihkan sekiranya kedua-dua negara fokus mengenai apa yang boleh mereka berikan kepada dunia menerusi kerjasama dan persefahaman.
Katanya, AS dan China merupakan negara kuasa besar dan mampu membantu dunia menjadi lebih baik dalam pelbagai sektor.
“Jangan bandingkan atau pilih siapa yang lebih bagus, China mahu pun AS kerana semua negara boleh membuat keputusan sendiri.
“Sudah tentu kami (AS) mahukan sesuatu yang positif dengan China, cuma adakah Beijing sudah bersedia?,” soalnya.