WASHINGTON: Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan membayangkan Presiden Joe Biden memberi amaran keras kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam perbincangan menerusi panggilan video berhubung pelbagai isu dua hala dan krisis Ukraine.
Amaran itu antara lain berupa tentera AS mungkin dikerahkan untuk mempertahankan Ukraine sekiranya Rusia cuba menyerang negara tersebut.
Lapor Daily Mail, Sullivan mendakwa Biden ‘memandang mata Putin dan memaklumkan AS sedia melakukan semua perkara yang tidak dapat dilakukan pada tahun 2014’.
Perkara itu merujuk kepada kegagalan negara Barat untuk melakukan campur tangan secara ketenteraan apabila Rusia menguasai Semenanjung Crimea dari Ukraine tujuh tahun lalu.
Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan AS dan sekutu Barat mengenai pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
Sejurus selepas perbincangan , White House dalam satu kenyataan memaklumkan Biden ‘menyuarakan kebimbangan mendalam’ AS dan sekutu Eropahnya mengenai peningkatan tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine.
Menurut kenyataan itu, Biden menjelaskan bahawa AS dan sekutunya akan bertindak balas dengan langkah ekonomi yang kukuh dan cara lain sekiranya berlaku peningkatan tindakan ketenteraan.
“Biden juga mengulangi sokongannya terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine serta menyeru agar pencerobohan dihentikan dan kembali kepada diplomasi,” jelas kenyataan itu.
Menurut Sullivan, AS menjangkakan sekutu Baltik termasuk Romania, Poland dan anggota yang lain juga bakal menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan negara masing-masing.
“Mereka mungkin mencari keupayaan dan anggota tambahan untuk dikerahkan sekiranya berlaku pencerobohan Rusia di Ukraine.
“AS akan cuba sedaya upaya untuk memberi respon positif terhadap perkara itu sekiranya terdapat pencerobohan berlaku,” katanya.
Jelas beliau, beberapa sekatan mungkin dilaksanakan termasuk pemberhentian eksport gas Rusia melalui saluran paip Nord Stream 2.
“Jika Putin ingin melihat aliran gas melalui saluran paip itu dilaksanakan, beliau mungkin tidak mahu mengambil risiko dengan menceroboh Ukraine,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Presiden AS, Donald Trump secara sinis menyatakan Putin ‘sedikit pun tidak berasa bimbang’ mengenai sebarang ancaman mahupun amaran Biden.
Jelas bekas Presiden AS itu, Biden tidak mempunyai pendirian yang tegas dan perkara itu boleh dilihat menerusi cara beliau menguruskan krisis di Afghanistan dan pengunduran tentera as dari negara itu.
Katanya, Biden dikritik hebat oleh seluruh dunia berhubung krisis di Afghanistan dan ‘keupayaan beliau’ sedikit pun tidak ‘menakutkan Putin’.
“Putin sudah tentu menyaksikan pengunduran AS yang menyedihkan di Afghanistan sehingga menyebabkan banyak anggota tentera terkorban, meninggalkan rakyat AS yang masih terkandas di negara itu dan aset tentera bernilai AS$85 bilion (RM358.8 bilion),” jelasnya.