AS pasang strategi baharu cegah Omicron - Utusan Malaysia

AS pasang strategi baharu cegah Omicron

AS berdepan cabaran dengan kumpulan antivaksin yang melancarkan protes membantah mandat vaksin terhadap pelajar di San Diego, California. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membentangkan strategi membendung penularan Covid-19 ketika varian Omicron sudah merebak di seluruh dunia, ditambah dengan ketibaan musim sejuk.  

Lapor Reuters, lebih membimbangkan apabila AS sudah melaporkan kes jangkitan tempatan pertama varian tersebut. 

Oleh itu, Biden memberi amaran jangkitan Covid-19 akan meningkat semasa musim sejuk, ketika pihak berkuasa di seluruh dunia berusaha habis-habisan mengekang penularan Omicron.  

“Kita akan melawan varian tersebut dengan ilmu sains dan ketangkasan, bukannya dengan suasana kelam-kabut dan mengelirukan,” katanya semasa berucap di Institut Perubatan Kesihatan Negara di Maryland. 

New York merekodkan penemuan lima kes baharu jangkitan varian Omicron sekali gus menjadikan lima negeri di AS dikesan varian itu dengan 10 jangkitan dilaporkan di seluruh negara. 

Gabenor New York, Kathy Hochul berkata, satu kes melibatkan pesakit wanita berusia 67 tahun dengan gejala ringan yang baru pulang dari Afrika Selatan. 

Wanita itu mempunyai sejarah divaksin, namun tidak diketahui jumlah dos yang sudah diterima. 

Baki empat individu lain yang merupakan penduduk di bandar New York belum diketahui maklumat terperinci mengenai mereka. 

Sementara itu, California, Colorado dan Minnesota merekodkan penemuan kes Covid-19 dalam kalangan pesakit yang sudah divaksin sepenuhnya dengan gejala ringan, manakala, Hawaii melaporkan kes terhadap individu yang belum divaksin dengan gejala sederhana. 

Kerajaan AS akan meminta pihak insurans kesihatan swasta membayar balik kos ujian Covid-19 yang dilakukan di kaunter atau rumah kepada 150 juta pelanggan mereka sebanyak 100 peratus. 

Hal ini bermakna, sebanyak 50 juta lagi ujian tersedia secara percuma di kawasan klinik dan pusat kesihatan luar bandar bagi mereka yang tidak diinsuranskan. 

Sehingga kini, kurang 60 peratus penduduk AS atau bersamaan 196 juta orang sudah diberikan vaksin sepenuhnya sekali gus merekodkan kadar terendah dalam kalangan negara maju. 

 

JERMAN SEKAT RAKYAT BELUM VAKSIN  

Dalam perkembangan lain, Jerman melaksanakan sekatan terhadap individu yang belum divaksin dalam usaha mengekang lonjakan kes Covid-19 yang diburukkan lagi dengan penemuan varian Omicron.

Canselor Jerman, Angela Merkel serta bakal penggantinya, Olaf Scholz bersetuju dengan kesemua pemimpin di 16 negeri di Jerman bagi menghalang individu yang belum divaksin daripada memasuki semua premis perniagaan penting seperti kedai barangan dapur, farmasi dan kedai roti. 

Kesemua pemimpin tersebut turut bersetuju untuk meluluskan undang-undang di Parlimen bagi mewajibkan proses vaksinasi. 

“Situasi sekarang sangat serius kerana bilangan kes jangkitan memang stabil, namun, pada masa depan boleh meningkat dengan mendadak,” katanya. 

Merkel berkata, jawatankuasa etika akan diminta menggubal undang-undang bagi mewajibkan vaksinasi dan Dewan Parlimen Bundestag akan berdebat serta mengundi mengenai pelaksanaan langkah tersebut, Februari depan. 

Pihak berkuasa melahirkan kebimbangan dengan serangan gelombang keempat Covid-19 yang akan merisikokan pusat penjagaan rapi. 

Sehingga Khamis lalu, lebih 73,000 kes jangkitan baharu direkodkan dengan 388 kematian di Jerman. 

Kadar vaksinasi di Jerman adalah di bawah 70 peratus secara purata di EU, namun, lebih rendah berbanding Portugal dan Ireland. 

 

EU ZAHIR KEBIMBANGAN

Dalam pada itu, agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menegaskan varian baharu itu boleh menyumbang lebih separuh daripada jangkitan di benua tersebut dalam tempoh beberapa bulan.

Beberapa badan kesihatan Afrika Selatan juga menyatakan Omicron boleh menyebabkan risiko jangkitan semula sehingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding varian Delta dan Beta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya