WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani undang-undang baharu bagi melarang produk buatan China yang dibuat di wilayah Xinjiang.
Lapor Reuters, keputusan itu dibuat selepas mendapat desakan Anggota Kongres AS sebagai balasan terhadap China yang menindas etnik Uighur sejak sekian lama.
Undang-undang itu diluluskan di kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dengan undian sebulat suara, awal bulan ini.
Undang-undang itu melarang import barangan dari Xinjiang dengan meminta pihak pembekal memberikan bukti produk mereka bukan dihasilkan oleh buruh paksa.
Xinjiang diketahui sebagai pembekal terbesar barangan kapas dan panel solar.
Senator AS, Marco Rubio menjelaskan ia adalah situasi hak asasi manusia yang paling menakutkan dilakukan oleh Parti Komunis China.
Kedutaan China di Washington belum memberikan sebarang maklum balas berhubung undang-undang baharu tersebut.
Undang-undang itu mengenakan sekatan terhadap mana-mana individu yang ditentukan AS bertanggungjawab terhadap buruh paksa di Xinjiang.
Situasi itu menyebabkan masalah rantaian bekalan akan menjadi lebih rumit terhadap beberapa syarikat AS yang mendapatkan bahan dari China.
Susulan tindak balas China, pembuat cip AS, Intel Corp membuat permohonan maaf kepada pelanggan dan rakan kongsi China berhubung kenyataan di We Chat kerana memaklumkan kepada pembekal supaya tidak mendapatkan produk atau buruh dari Xinjiang.
Minggu lalu, Biden turut mengenakan sekatan perdagangan terhadap beberapa syarikat teknologi dan institusi China kerana mendakwa Beijing melakukan pengawasan teknologi tinggi terhadap etnik Uighur.
Langkah tersebut turut diambil oleh Jabatan Perdagangan AS yang menambah Akademi Sains Perubatan Tentera China dan 11 institut penyelidikannya ke senarai syarikat dan institusi AS yang tertakluk kepada kawalan eksport.