AS dan Rusia bakal adakan pertemuan sekali lagi 10 Januari depan - Utusan Malaysia

AS dan Rusia bakal adakan pertemuan sekali lagi 10 Januari depan

PERTEMUAN Joe Biden dan Vladimir Putin di Geneva pada Jun lalu disifatkan ‘canggung’ dan tidak banyak isu serius dibincangkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bakal mengadakan satu lagi pertemuan yang dinanti-nantikan pada bulan depan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara dijangka mengadakan perbincangan mengenai kawalan senjata nuklear dan krisis antara Rusia dengan Ukraine.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS yang enggan dikenali memaklumkan, barisan kepemimpinan negara ini sentiasa ‘ingin bekerjasama’ dengan Rusia.

“Apabila kami berunding nanti, Rusia boleh maklumkan apa sahaja kebimbangan mereka dan kami akan akan menerimanya dengan hati terbuka.

“Rundingan dua hala itu dijangka diadakan pada 10 Januari depan,” kata jurucakap tersebut.

Dalam pada itu, Rusia dan wakil Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula dijangka mengadakan pertemuan pada 12 Januari, manakala Rusia dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) pada 13 Januari.

 

DIALOG STRATEGIK KESELAMATAN

Pertemuan pada 10 Januari itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Dialog Strategik Keselamatan yang dipersetujui oleh Presiden AS, Joe Biden dengan rakan sejawatnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika sidang kemuncak di Geneva pada Jun lalu.

Biarpun format rundingan itu kebanyakannya membincangkan mengenai perjanjian semula kawalan senjata nuklear pasca Perang Dingin, kedua-dua pemimpin juga bakal membincangkan isu ketegangan antara Rusia dan Ukraine.

Rusia sebelum ini didakwa mengerahkan pasukan tenteranya mengukuhkan penguasaan di kawasan sempadan negara itu dengan Ukraine sehingga mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Moscow juga dikatakan bakal menyerang dan menawan Ukraine pada bulan depan.

Selain itu, pertemuan Rusia dengan NATO dan OSCE pula memfokuskan isu Ukraine.

 

PENAFIAN RUSIA

Beberapa negara Barat menuduh Putin mengancam untuk menawan Ukraine dan situasi itu semakin membimbangkan apabila Rusia menempatkan puluhan ribu tentera di kawasan sempadan.

Ukraine bersama sekutu Barat menzahirkan kebimbangan mengenai tercetusnya peperangan sehingga menyaksikan wilayah negara itu boleh jatuh ke dalam tangan Rusia.

Namun, Putin sekeras-kerasnya menafikan tuduhan tersebut yang disifatkannya tidak berasas dan memberi alasan penempatan tentera itu hanyalah untuk mengukuhkan pertahanan negara itu bagi menghadapi ancaman Barat.

 

RUSIA GESA BARAT

Pada bulan ini, Putin menggesa Barat supaya menghalang Ukraine daripada menjadi negara anggota NATO.

Sebagai tindak balas, AS dan beberapa negara Eropah mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi yang ketat sekiranya Rusia menyerang Ukraine.

Sehubungan itu, Majlis Keselamatan Kebangsaan AS menegaskan kepentingan Ukraine tidak akan dikecualikan dalam rundingan yang bakal berlangsung kelak.

 

BIDEN TIDAK LUPAKAN UKRAINE

Pendekatan Biden terhadap Ukraine adalah jelas dan konsisten yang menyaksikan Rusia akan menerima akibatnya jika mengambil sebarang tindakan terhadap Ukraine.

Namun, pada masa yang sama, AS juga bersedia untuk berunding dengan Rusia menerusi diplomasi.

Sementara itu, tidak dapat dipastikan sama ada rundingan pada Januari depan akan melibatkan pertemuan Putin dan Biden atau pemimpin lain. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya