WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan lebih 50 juta kes jangkitan Covid-19 sejak bermulanya pandemik itu kira-kira dua tahun lalu.
Memetik laporan BBC, lebih 800,000 rakyat AS meninggal dunia akibat Covid-19 yang disifatkan sebagai jumlah kematian paling tinggi yang direkodkan negara itu.
Angka itu jauh lebih besar daripada keseluruhan penduduk di beberapa negeri termasuk Washington, Boston, North Dakota dan Alaska.
Pakar epidemiologi dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, Dr. Keri Althoff berkata, kebanyakan kes kematian membabitkan individu belum divaksin dan warga emas.
Katanya, lebih ramai warga AS yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Gelombang jangkitan yang kita saksikan ketika ini akan berterusan sehingga populasi mencapai tahap imuniti yang cukup tinggi untuk mencegahnya.
“Apa yang boleh saya katakan adalah, kita masih belum mencapai peringkat itu lagi,” katanya.
Dilaporkan, sejak vaksin Pfizer mula diberikan pada musim sejuk lalu, hampir 300,000 lagi kematian direkodkan.
Pada April lalu, dua lagi vaksin Covid-19 keluaran Moderna dan Johnson & Johnson diluluskan untuk penggunaan. – AGENSI