AS beri jaminan tidak akan 'lockdown' lagi - Utusan Malaysia

AS beri jaminan tidak akan ‘lockdown’ lagi

PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden berucap mengenai varian Omicron di White House di Washington DC. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi jaminan negara ini tidak akan melaksanakan semula perintah berkurung untuk mengekang penularan varian Covid-19, Omicron.

Justeru, beliau menggesa rakyat AS supaya tidak panik dengan penemuan varian koronavirus baharu itu yang dikesan pertama kali di Afrika Selatan.

Menurut Biden, AS ketika ini sedang membangunkan pelan kontigensi dengan beberapa syarikat farmaseutikal bagi menilai sekiranya vaksin baharu perlu dihasilkan.

Malah, beliau berkata, pihaknya juga akan membentangkan strategi untuk membendung pandemik sepanjang musim sejuk pada Khamis ini.

Sehubungan itu, Biden menggesa orang ramai supaya terus mengambil suntikan vaksin Covid-19, dos penggalak dan memakai pelitup muka.

“Varian ini ditetapkan sebagai varian kebimbangan (VOC) dan bukan sebab untuk menjadi panik.

“Kita akan lawan dan membendung varian baharu ini,” kata Biden dalam satu ucapan di White House selepas bertemu dengan pasukan tindak balas Covid-19.

Varian Omicron menyebabkan hampir sebahagian besar negara di seluruh dunia termasuk AS melaksanakan sekatan perjalanan terhadap negara selatan Afrika.

Dalam pada itu, Biden mengakui negara ini tidak akan dapat mengelak daripada mengesan varian Omicron.

Namun, katanya, beliau percaya vaksin sedia ada berupaya melindungi rakyat AS daripada jangkitan yang teruk.

“Sekiranya vaksinasi atau dos penggalak diperlukan untuk melawan varian baharu ini, maka kami akan mempercepatkan penghasilan dan penggunaannya dengan setiap peralatan yang ada,” katanya.

Menurut Biden, beliau akan mengarahkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyediakan vaksin tersebut dalam kadar segera. 

 

OMICRON BERISIKO TINGGI 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Omicron mempunyai risiko sangat tinggi untuk peningkatan jangkitan.

WHO menasihatkan 194 negara anggotanya bahawa sebarang peningkatan jangkitan boleh mendatangkan kesan yang amat buruk.

Namun, WHO menyatakan, setakat ini, tiada kematian dikaitkan dengan varian baharu itu.

“Omicron mempunyai jumlah mutasi sangat tinggi. Malah, beberapa daripadanya dilihat membimbangkan dari segi kesan terhadap penularan pandemik itu.  

“Secara keseluruhannya, risiko berkaitan Omicron di peringkat global adalah sangat tinggi,” jelas WHO.  

Tambah badan tersebut, kajian lanjut diperlukan untuk memahami mengenai potensi kesan Omicron terhadap imuniti menerusi vaksin dan jangkitan sebelumnya.

 

 SEKATAN PERJALANAN DIKETATKAN 

Penutupan sempadan yang dilaksanakan kebanyakan negara memberi tamparan hebat terhadap pemulihan ekonomi dunia susulan pandemik selama dua tahun.

Menurut sumber industri, beberapa syarikat penerbangan besar bertindak segera dengan mengenakan sekatan perjalanan penumpang dari negara Afrika Selatan bagi melindungi sektor tersebut.

Tindakan itu diambil kerana bimbang penyebaran varian itu akan mencetuskan sekatan dari destinasi lain, melangkaui wilayah yang terjejas ketika ini, sekali gus menyaksikan industri penerbangan terus lumpuh. – REUTERS 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya