RIYADH: Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam semua acara serta aktiviti di dalam dan luar bangunan.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan semula beberapa sekatan Covid-19 apabila dunia merekodkan 6.5 juta kes dalam tempoh satu minggu.
Angka itu juga merupakan jumlah kes mingguan tertinggi sejak wabak itu bermula dua tahun lalu.
Arab Saudi merekodkan 744 kes baharu Covid-19 Rabu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sejak permulaan wabak itu kepada 554,665 kes dengan satu kematian direkodkan kelmarin.
Sebanyak 187 kes direkodkan di Riyadh, Mekah (155), Jeddah (149), Hofuf (32), Madinah (22), al-Mubarraz (22), al-Khobar (18), Arar (16) dan Dammam (14).
Jumlah keseluruhan kes pulih di negara itu meningkat 541,388 kes selepas 231 lagi pesakit pulih daripada virus itu.
Sehingga kini, sebanyak 8,874 orang meninggal dunia akibat virus itu.
Orang ramai yang tinggal di Arab Saudi digesa mematuhi protokol baharu bagi mengelak daripada berdepan hukuman undang-undang kerana gagal mematuhi langkah tersebut.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), jumlah kes harian baharu melepasi 2,000 baru-baru ini, buat kali pertama sejak Jun lalu.