NEW YORK: Kajian baharu menunjukkan individu yang terkena jangkitan Covid-19 selepas menerima suntikan vaksin sepenuhnya akan mendapat antibodi 2,000 peratus.
Kajian kecil itu membuat perbandingan antara seramai 26 pekerja yang sudah divaksin di Universiti Sains dan Kesihatan Oregon (OHSU) yang mengalami jangkitan dengan individu yang diberikan vaksin tetapi tidak pernah mendapat jangkitan Covid-19.
Pakar Imunologi dan Mikrobiologi Molekular OHSU di Portland, Oregon, Prof. Fikadu Tafesse berkata, peningkatan antibodi adalah besar sehingga 1,000 peratus.
“Kadang-kadang meningkat sehingga 2,000 peratus. Jadi, ia benar-benar imuniti yang tinggi dan hampir kepada ‘imuniti super’,” katanya.
Prof. Fikadu berkata, antibodi meningkat sebanyak 2,000 peratus terhadap individu yang dijangkiti Covid-19 selepas divaksin.
Beliau turut memberi amaran dijangkiti virus terlebih dahulu adalah tidak disyorkan kerana kita tidak boleh meramalkan siapa yang akan mengalami sakit lebih teruk akibat Covid-19.
“Sekiranya anda terdedah kepada virus, anda akan mendapat tindak balas imun yang menakjubkan.
“Ia mencerminkan tindak balas imuniti yang diperolehi daripada dos penggalak,” katanya.
Sementara itu, kajian Universiti Columbia mendapati pesakit yang diberikan suntikan dos penggalak sama ada Pfizer atau Moderna mempunyai 6.5 kali antibodi lebih sedikit terhadap Omicron sekali gus menunjukkan dos penggalak sahaja tidak begitu melindungi.
Banyak kajian menunjukkan individu yang dijangkiti dan mendapatkan dos vaksin Covid-19 adalah sangat berkesan melawan virus itu.
Namun, segelintir individu beranggapan senario sebaliknya berlaku.