CAPE TOWN: Afrika Selatan menggesa supaya satu acara lelong melibatkan kunci sel penjara di Pulau Robben yang pernah dihuni bekas presiden negara kni, Nelson Mandela dihentikan.
Lapor BBC, acara lelong itu dijadualkan berlangsung pada bulan depan di New York oleh agensi lelong Guernsey’s.
Individu yang ingin menjual kunci sel itu dikenal pasti sebagai bekas pengawal penjara Mandela, iaitu Christo Brand.
Namun, Menteri Budaya Afrika Selatan, Nathi Mthethwa berkata, tiada sebarang perbincangan dengan pihak kerajaan berhubung acara lelong tersebut.
“Kunci itu adalah milik rakyat negara ini, bukan milik perseorangan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Guernsey’s memaklumkan pihaknya bercadang untuk melelong kunci tersebut pada 28 Januari depan bagi meraih dana untuk membangunkan taman peringatan dan muzium di sekitar kawasan kubur Mandela.
Selain kunci, barangan lain yang bakal dilelong termasuk lukisan Mandela, The Lighthouse, Pulau Robben dan basikal senaman serta raket tenis.