WASHINGTON: Masalah kebuluran dijangka meningkat ketika musim cuti pada tahun ini apabila Biro Bancian Amerika Syarikat (AS) menganggarkan lebih 21 juta rakyat negara ini tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi pada awal bulan ini ketika harga makanan meningkat.
Lapor Bloomberg, keluarga yang berpendapatan rendah mungkin berdepan dengan tekanan lebih banyak berhubung kos perbelanjaan bulanan.
Berdasarkan data yang dikumpul antara 1 dan 13 Disember menerusi Kaji Selidik isu Rumah oleh biro tersebut, jumlah penduduk yang tidak cukup makanan mencecah 9.7 peratus pada bulan ini.
Jumlah melibatkan isi rumah dengan kanak-kanak pula merosot dari 11 peratus ke 7.8 peratus pada Ogos lalu, iaitu selepas bayaran kredit bulanan bagi cukai anak pertama dihentikan.
Selain itu, harga makanan runcit di AS juga meningkat sehingga 6.4 peratus berbanding tahun lalu, malah bank makanan turut menyaksikan permintaan tinggi dan klinik yang menyediakan rawatan untuk kanak-kanak malnutrisi menyaksikan pertambahan pesakit.
Dalam pada itu, biro tersebut juga menunjukkan banyak ibu bapa menggunakan bayaran kredit cukai anak pertama yang diberi sebelum ini untuk membeli stok makanan.
Kajian turut mendapati, pembayaran kredit secara berterusan dapat mengurangkan kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak.
Bayaran kredit cukai kanak-kanak berfungsi sebagai pendahuluan bagi pulangan cukai yang diterima oleh isi rumah yang berpendapatan kurang AS$150,000 (RM630,751) setahun.
Ibu bapa menerima bayaran sebanyak AS$300 (RM1,261) sebulan bagi anak berumur bawah enam tahun dan AS$250 (RM1,051) sebulan untuk anak berusia bawah 18 tahun.