ARBIL: Sebanyak 16 jenazah mangsa bot karam di Selat Inggeris dihantar pulang ke Iraq bagi dikebumikan oleh keluarga masing-masing.
Pesawat yang membawa kesemua jenazah itu tiba di Arbil kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan sebelum dipindahkah ke dalam ambulans untuk dibawa ke kampung halaman masing-masing.
Sekurang-kurangnya 27 pendatang yang kebanyakannya berasal dari Asia Barat maut apabila bot yang mereka naiki karam di Selat Inggeris ketika dalam perjalanan ke England pada 24 November lalu.
Kebanyakan 27 mangsa tersebut adalah lelaki, namun terdapat wanita dan kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Hanya dua penumpang berjaya diselamatkan dalam insiden tersebut, iaitu seorang warga Iraq Kurdistan dan seorang lagi rakyat Sudan.
Di terminal lapangan terbang Arbil, ahli keluarga menunggu dengann penuh kesabaran dan emosi, dengan ada dalam kalangan mereka dilihat menangis dan berpelukan.
Pada mulanya, proses penghantaran semua jenazah itu dijadualkan pada Jumaat lalu, namun ditangguhkan dua kali.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Perancis masih menyiasat punca kejadian, termasuk laporan daripada penumpang yang menelefon pasukan kecemasan Perancis dan Britain ketika bot mereka mula karam. – AFP