CHICAGO: Varian Delta virus SARS-CoV-2 kini dilaporkan merangkumi hampir semua jangkitan koronavirus di seluruh dunia.
Meskipun vaksin Covid-19 sedia ada mampu mempertahankan individu daripada jangkitan teruk dan kematian akibat varian Delta namun para saintis masih melahirkan kebimbangan mengenai ancaman varian tersebut.
DELTA MASIH DOMINAN
Varian Delta yang pertama kali dikesan di India pada 20 Disember tahun lalu kekal sebagai versi virus SARS-CoV-2 yang paling membimbangkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Delta sebagai varian membimbangkan (VOC).
Kategori itu bermakna varian tersebut mampu meningkatkan kadar kebolehjangkitan sehingga menyebabkan jangkitan lebih teruk atau mengurangkan manfaat vaksin dan rawatan.
Ahli virologi dari Institut Imunologi La Jolla di San Diego, Shane Crotty menyifatkan ‘kuasa besar’ Delta adalah kadar kebolehjangkitan varian tersebut.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), varian Delta mampu menular dua kali ganda lebih pantas berbanding varian SARS-CoV-2 sebelum ini.
Beberapa kajian juga menyatakan varian tersebut lebih cenderung mengakibatkan individu dijangkiti dimasukkan ke hospital berbanding bentuk virus yang terdahulu.
Delta juga boleh menyebabkan gejala muncul dua hingga tiga hari lebih awal daripada koronavirus asal sekaligus memberikan sistem imun sedikit masa untuk bertindak mewujudkan pertahanan.
Individu dijangkiti dengan varian Delta membawa kira-kira 1,200 kali lebih banyak virus dalam hidung mereka berbanding versi asal koronavirus.
Jumlah virus terdapat dalam diri individu sudah divaksin dan dijangkiti varian Delta adalah setanding dengan mereka yang belum menerima suntikan vaksin.
Malah, dalam situasi ini, kedua-dua golongan itu masih mampu menyebarkan virus kepada orang lain.
Bagaimanapun, dalam kalangan individu divaksin, jumlah virus berkurangan lebih cepat, justeru mereka mungkin menyebarkan virus untuk masa yang lebih singkat.
Menurut WHO, varian Delta membentuk 99.5 peratus daripada semua jujukan genom yang dilaporkan kepada pangkalan data awam.
Jumlah itu sudah mengatasi varian lain di kebanyakan negara.
Di Amerika Selatan, Delta menular dengan lebih perlahan dan varian lain yang sebelum ini dianggap sebagai ancaman global masih menyumbang sebahagian besar kes dilaporkan.
KESAN VARIAN DELTA
Dengan mengambil kira dominan Delta, ramai pakar pengeluar vaksin percaya semua varian pada masa hadapan adalah cabang daripada Delta.
Subvarian Delta yang dikenali sebagai AY.4.2 dan sebahagian besar tertumpu di United Kingdom (UK) dilaporkan membentuk kira-kira 10 peratus daripada sampel virus jujukan.
AY.4.2 mempunyai dua mutasi tambahan pada ‘protein spike’ yang digunakan oleh virus untuk memasuki sel.
Dilaporkan, para saintis masih mengkaji kelebihan mutasi berkenaan.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK menetapkan AY.4.2 sebagai Varian dalam Siasatan (VUI).
Menurut agensi itu, analisis awal menunjukkan ia tidak menjejaskan keberkesanan vaksin dengan ketara berbanding Delta, tetapi terdapat beberapa bukti bahawa ia mungkin lebih mudah berjangkit.
Berdasarkan WHO, subvarian AY.4.2 sudah menular ke sekurang-kurangnya 42 negara termasuk AS.
LEBIH BANYAK LAGI VARIAN?
Beberapa pakar virus memantau dengan teliti evolusi Delta termasuk mencari sebarang petunjuk bahawa ia sudah memperoleh mutasi yang membolehkan varian mudah berjangkit itu menembusi perlindungan imunisasi vaksin dan jangkitan semula jadi.
Walaupun vaksin sedia ada mencegah jangkitan teruk dan kematian, ia tidak sama sekali menghalang jangkitan.
Virus itu masih mampu membiak dalam hidung malah dalam kalangan individu yang sudah divaksin yang kemudian boleh menularkan jangkitan itu melalui titisan kecil aerosol. – REUTERS