PRETORIA: Kumpulan saintis Afrika Selatan menzahirkan kebimbangan mengenai kemunculan varian baharu Covid-19 yang dikesan dalam sejumlah kes kecil dan berusaha untuk memahami kesannya terhadap masyarakat.
Varian yang dikenali sebagai B.1.1.529 mempunyai bentuk ‘mutasi yang sangat luar biasa’ kerana ia boleh mengelak tindak balas imun tubuh, sekali gus menjadikannya lebih mudah ditularkan.
Institut Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit (NICD) memaklumkan, sebanyak 22 kes positif melibatkan varian baharu itu direkodkan di negara ini.
Jurucakap Pemantau Rangkaian Genom Afrika Selatan, Tulio Oliveira berkata, penemuan varian baharu itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa kesihatan di negara ini.
Katanya, varian itu mempunyai keupayaan pelbagai jenis mutasi yang boleh mencetuskan kadar jangkitan meluas.
“Varian itu turut dikesan di Botswana dan Hong Kong melalui pengembara dari Afrika Selatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Joe Phaahla menyifatkan varian itu sebagai ‘ancaman besar’ yang boleh memburukkan lagi kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.
Sebelum varian babaru itu dikesan, pihak berkuasa menjangkakan gelombang keempat jangkitan Covid-19 di negara ini bakal berlaku pada pertengahan Disember ini susulan musim perayaan.
NICD menyatakan, kes positif melibatkan varian baharu itu meningkat dengan cepat du tiga wilayah utama termasuk Gauteng, Johannesburg dan Pretoria.
“Walaupun data yang diperoleh masih terhad, pasukan pakar kami akan terus memahami dan meneliti keupayaan varian baharu ini,” jelas agensi tersebut.
Sejak pandemik bermula, Afrika Selatan merekodkan sebanyak 2.95 juta kes Covid-19 dengan 89,657 kematian.
LEBIH BANYAK MUTASI
Oliveira menjelaskan, keupayaan varian baharu itu untuk bermutasi dengan lebih banyak menjadikannya sangat mudah berjangkit dan mereka menjangkakan ‘tekanan’ terhadap sistem kesihatan negara ini mula dapat dilihat dalam tempoh terdekat.
Penyelidik, Richard Lessells berkata, tempoh beberapa hari akan datang bakal menjadi petunjuk kesan varian baharu itu dalam kes jangkitan harian.
“Apa yang menjadi kebimbangan kami adalah, varian baharu ini boleh menembusi beberapa bahagian sistem imun tubuh dan perlindungan yang terdapat dalam sistem tersebut.
“Setakat ini, varian itu kebanyakannya menjangkiti golongan muda,” jelas Lessells.
JANGAN PANIK
Ketua Kumpulan Penasihat Teknikal Imunisasi Serantau Afrika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Helen Rees menegaskan orang ramai tidak perlu panik dengan penemuan varian baharu itu.
“Ketika ini, kami sedang mengenal pasti bagaimana ia boleh berjangkit dan pelbagai sudut perlu diteliti.
“Apa yang penting ketika ini, dapatkan suntikan vaksin, patuhi peraturan Covid-19 kerana varian tidak kekal di satu-satu negara,” katanya.
LARANGAN PERJALANAN
Semalam, Britain mengumumkan menggantung sementara semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana susulan penemuan varian baharu tersebut.
Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid menyatakan, petunjuk awal menggambarkan varian itu lebih mudah berjangkit berbanding Delta dan vaksin sedia ada mungkin tidak dapat memberi perlindungan yang tinggi.
Australia juga dalam pertimbangan untuk melaksanakan larangan perjalanan dari dan ke negara ini bagi mengelak risiko penularan jangkitan.
Negara lain yang turut menzahirkan kebimbangan mengenai varian baharu itu adalah New Zealand, India dan Singapura. – AGENSI