GENEVA: Pemberian vaksin Covid-19 dapat mengurangkan kadar jangkitan varian Delta sebanyak 40 peratus.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keberkesanan itu tidak bermakna masyarakat dunia perlu mengabaikan peraturan Covid-19 yang lain.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ramai golongan yang sudah diberi vaksin beranggapan mereka sudah mendapat perlindungan sepenuhnya dan mengabaikan peraturan pencegahan yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, golongan yang sudah lengkap vaksin Covid-19 perlu terus mematuhi peraturan pencegahan bagi mengelak dijangkiti atau menularkannya kepada orang lain.
“WHO bimbang dengan segelintir masyarakat yang beranggapan vaksin adalah perlindungan segala-galanya.
“Vaksin terbukti menyelamatkan nyawa namun bukan mmeberi perlindungan sepenuhnya,” katanya.
Jelas Ghebreyesus, data kajian menunjukkan, sebelum ‘kehadiran’ varian Delta, vaksin mampu mengurangkan jangkitan pada kadar 60 peratus dan jumlah itu menurun kepada 40 peratus akibat Delta.
Tambah beliau, Delta kini merangkumi kebanyakan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia. – AFP