PARIS: Perancis dan Britain saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain berhubung tragedi di Selat Inggeris kelmarin yang menyaksikan puluhan pendatang lemas ketika merentasi perairan tersebut.
Insiden yang berlaku di kawasan perairan Calais, Perancis itu turut menimbulkan lebih banyak persengketaan antara kedua-dua negara yang sebelum ini sering berbalah mengenai Brexit.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menegaskan Perancis bersalah dalam insiden itu, manakala Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin pula menuduh Britain sebagai ‘pengurus imigresen yang teruk’.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan Paris dengan menyatakan, negara ini hanya menjadi transit bagi ramai pendatang dan sehubungan itu, lebih banyak kerjasama Eropah diperlukan untuk menangani krisis berkenaan.
Kejadian pada Rabu lalu disifatkan sebagai paling buruk yang berlaku di Selat Inggeris yang merupakan satu daripada laluan perkapalan tersibuk di dunia.
Sekurang-kurangnya 27 dari 50 pendatang lemas termasuk kanak-kanak, manakala selebihnya masih dalam pencarian.
Majoriti pendatang itu berasal dari Asia Barat yang melarikan diri daripada perang saudara atau kebuluran di negara sendiri.
Sementara itu, Perancis mengerahkan pasukan simpanan keselamatan dan memperhebatkan operasi mencari serta menyelamat (SAR) di laut untuk mengesan pendatang yang mungkin masih terkandas di Selat Inggeris. – AFP