WASHINGTON: Seorang wanita di Connecticut, Amerika Syarikat (AS) didakwa mencuri wang lebih AS$600,000 (RM2.5 juta) daripada akaun bank suaminya, sejak 20 tahun lalu.
Donna Marino dilaporkan menyembunyikan perbuatan itu dengan menyakinkan suaminya kononnya dia menghidap penyakit Alzheimer.
Lapor Oddity Central, Marino ditahan minggu lalu kerana didapati mencuri wang dalam bentuk cek pencen, bayaran pampasan pekerja dan pendapatan Keselamatan Sosial daripada suaminya sepanjang tempoh berkenaan.
Perbuatan wanita itu terbongkar selepas anak tirinya menemukan beberapa dokumen kad kredit milik bapanya yang disembunyikan.
Anak perempuan lelaki itu membuat laporan polis dan yakin ibu tirinya sudah mengawal kewangan keluarganya.
“Marino sering menyakinkan suaminya dia menghidap penyakit Alzheimer.
“Apabila lelaki itu mahu melakukan transaksi di bank, Marino akan menipu dengan menyatakan dia pernah berkelakuan buruk sebelum ini di premis tersebut.
“Ini menyebabkan lelaki itu berasa malu dan enggan pergi ke bank,” kata Sarjan Gregory Borer.
Sementara itu, Borer berkata, siasatan mendapati Marino memasukkan wang yang dicuri itu ke dalam akaun bank milik ibunya. – AGENSI