JAKARTA: Kisah penemuan ketulan emas di Ogan Komering Ulu Selatan di Sumatera Selatan mula tular dalam media sosial.
Menerusi beberapa hantaran dalam media sosial, ketulan emas itu ditemukan di Sungai Are di Desa Ujanmas.
Namun, perkara itu dinafikan oleh Ketua Desa Ujanmas, Anri yang menegaskan tiada ketulan emas ditemukan di sungai tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan musim menuai biji kopi belum tiba, menyebabkan penduduk setempat berpusu-pusu mencari serbuk emas di dalam sungai untuk dijual bagi menampung kehidupan.
“Penduduk di sini sudah lama mencari serbuk emas setiap kali musim menuai kopi belum tiba kerana mereka ingin mencari sumber pendapatan.
“Saya sudah mengarahkan beberapa pihak untuk melakukan pemeriksaan dan sehingga kini, tiada ketulan emas ditemukan,” katanya.
Selain itu, Anri juga memaklumkan, penduduk setempat juga terkejut dengan berita tersebut dan memberitahu, jika ada ketulan emas, pasti mereka terlebih dahulu menemukannya.