BANGKOK: Thailand seolah-olah ‘tidak meriah’ tanpa kehadiran pelancong China apabila bilangan pelancong dari negara itu hanya mencatatkan 25 hingga 30 peratus di Resort Laguna Phuket disebabkan pandemik Covid-19.
Disebabkan itu, pengarah urusan resort tersebut, Ravi Chandran berkata, pihaknya terpaksa beralih arah kepada pasaran pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Barat.
“Sehingga hari ini, kita tidak melakukan sebarang promosi atau pemasaran di China kerana kita tidak lagi merasakan ia adalah prospek utama,” katanya lapor Reuters.
Sektor pelancongan Thailand terjejas teruk akibat Covid-19 dengan kebanyakan perniagaan terpaksa gulung tikar, sementara syarikat lain berdepan cabaran membuka balik sektor perniagaan.
Secara keseluruhannya, Thailand mengalami kerugian AS$50 bilion (RM200 bilion) setahun dalam sektor pelancongan.
Pegawai pelancongan berharap ketibaan pelancong asing ke Thailand mencecah 180,000 orang tahun ini, walaupun angka itu terlalu jauh dengan jumlah 40 juta pelancong yang datang ke negara ini pada 2019.
PASARAN PELANCONGAN CHINA BERUBAH
Pemerhati China meramalkan negara itu masih mengekalkan tempoh 21 hari kuarantin bagi penduduk tetap yang pulang dari negara luar sehingga suku kedua tahun 2022.
Apabila negara itu dibuka semula kepada pelancong luar, pakar dari Institut Penyelidikan Pelancongan China menjangka ia akan dilakukan secara beransur-ansur dan trend pelancongan ke negara luar oleh pelancong China tidak lagi sama.
“Pasaran akan berubah dan orang China yang melancong pada 2022 sudah pasti berbeza dengan bilangan yang melancong pada 2019.
“Saya fikir trend membeli-belah juga akan hilang,” katanya.
Sementara itu, Sienna Parulis-Cook dari firma pemasaran pelancongan, Dragon Tail International turut bersetuju dengan situasi tersebut dan percaya kumpulan pelancongan besar semakin berkurangan.
“Kalau selama ini anda pernah menguruskan seramai 50 pelancong dalam sebuah bas pelancongan, kali ini anda hanya akan menguruskan kumpulan kecil sahaja,” ujarnya.
PELANCONGAN, PENERBANGAN TERJEJAS
Dalam pada itu, Shanghai Disneyland terpaksa menghentikan penerimaan pelancong sejak 1 November lalu kerana semua petugas taman tema dari 30 hingga 31 Oktober perlu menjalani ujian calitan Covid-19.
Langkah itu bertujuan sebahagian daripada kerjasama dengan penyiasatan Covid-19 seperti yang diminta oleh pihak berkuasa dari luar Shanghai tanpa memberikan maklumat lebih terperinci.
Sebanyak 484 kes jangkitan Covid-19 dengan bergejala direkodkan dari 17 hingga 31 Oktober lalu dan kebanyakan kes dari utara China.
Kebanyakan kes jangkitan berlaku melibatkan pelancong yang mengunjungi banyak kawasan di negara itu.
Tiga syarikat penerbangan terbesar China mencatatkan kerugian lebih besar bagi tempoh Julai hingga September lalu, berbanding suku sebelumnya akibat penurunan mendadak jumlah perjalanan domestik.
Bulan lalu, pihak berkuasa pelancongan China mengumumkan penggantungan agensi pelancongan daripada menganjurkan perjalanan antara wilayah ke wilayah berisiko tinggi serta menghentikan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan ke kawasan tumpuan pelancongan.