WASHINGTON: Serangan dron di Kabul pada Ogos lalu yang mengorbankan 10 penduduk awam termasuk kanak-kanak diputuskan tidak menyalahi undang-undang.
Tiga dewasa dan tujuh kanak-kanak maut apabila tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan dron terhadap sebuah rumah dan kenderaan yang didakwa milik anggota Daesh pada 29 Ogos lalu.
Jurucakap tentera AS, Sami Said berkata, siasatan mendapati serangan itu tidak mencabuli undang-undang, termasuk Undang-Undang Perang.
“Kesilapan ditambah dengan maklumat berat sebelah serta komunikasi tidak lengkap menyebabkan kematian yang amat tragik.
“Insiden itu amat menyedihkan, namun ia tidak menyalahi undang-undang,” katanya.
Jelas Said, pihak yang terlibat dalam melancarkan serangan dron itu percaya mereka sudah ‘menyasarkan sasaran yang sewajarnya’.
Tegasnya, rumah serta kenderaan yang disasarkan itu secara jelas memberi ancaman kepada misi pasukan tentera AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.
Namun, Said mengakui berlaku kesilapan mengenai maklumat dan pemantauan yang dilakukan sehingga menyebabkan kematian tragik tersebut.
Selepas siasatan awal, Pentagon mengakui perkara tersebut pada 17 September lalu dan mencadangkan supaya pampasan diberikan kepada keluarga mangsa. – AFP