Rusia serang Ukraine Januari 2022? - Utusan Malaysia

Rusia serang Ukraine Januari 2022?

IMEJ satelit menunjukkan aset tentera Rusia ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIEV: Rusia dijangka ‘menyerang dan menceroboh’ Ukraine menjelang penghujung Januari depan selepas menghantar kira-kira 94,000 anggota tentera ke kawasan sempadan kedua-dua negara.

Menurut sumber yang diperoleh daripada seorang pegawai tinggi tentera Ukraine, pasukan tentera Rusia, termasuk pelbagai aset dan jentera ketenteraan sudah ditempatkan di semua sudut di kawasan sempadan.

Tentera Rusia dijangka melancarkan serangan dari tiga penjuru termasuk di pelabuhan di bandar Odessa dan Mariupol, selain serangan udara dan darat di bahagian timur Ukraine serta membuat kemasukan menerusi Belarus.

Peta yang dikongsikan oleh Military Times menunjukkan bagaimana perisikan Ukraine bersiap sedia dengan pencerobohan berskala besar oleh Rusia.

Jeneral Brigadier Kyrylo Budanov berkata, latihan ketenteraan berskala besar antara Rusia dan Belarus pada bulan lalu membuktikan lebih 3,500 pasukan tentera yang menggunakan payung terjun akan ‘masuk sekali gus ke Ukraine’.

Semalam, Kremlin menolak dakwaan Budanov, sebaliknya menzahirkan kebimbangan sekiranya Kiev dibekalkan dengan sejumlah besar senjata dan mengukuhkan pasukan tenteranya di kawasan sempadan.

 

PUTIN KAWAL BARAT?

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov ketika melakukan kunjungan ke Washington pada minggu lalu berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin ‘kini dalam usaha mengawal Barat’ dan tidak dapat dipastikan apa niat sebenar beliau.

Kenyataan itu turut disokong Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin.

Budanov sebelum ini memaklumkan, AS boleh menghalang serangan dan pencerobohan Rusia ke negara ini menerusi sokongan ketenteraan dan meningkatkan sekatan.

Washington juga menghantar sejumlah kapal peronda, pelancar antiperisai ke Ukraine dan menempatkan sistem radar bagi mengesan kehadiran peluru berpandu di ruang udara negara ini.

Britain turut menandatangani perjanjian senjata baharu dengan Ukraine pada bulan ini untuk menghantar sebanyak 10 kapal perang dan sistem peluru berpandu baharu bagi meningkatkan ketenteraan negara ini.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberi amaran adalah ‘menjadi satu kesilapan besar sekiranya Kremlin beranggapan tiada apa-apa akan berlaku’.

 

RUSIA TETAP ANCAM UKRAINE

Budanov menjelaskan, sama ada Putin memutuskan untuk menyerang Ukraine atau sebaliknya, Rusia tetap akan mengganggu kestabilan negara ini.

“Mereka (Rusia) mahu mencetuskan kekacauan melalui protes dan mesyuarat bagi menunjukkan rakyat menentang kerajaan,” ujarnya.

Antara propaganda terbaharu yang dicetuskan Rusia termasuk meningkatkan ketidakpercayaan golongan antivaksin dan menakut-nakutkan beberapa pihak mengenai bekalan tenaga serta ekonomi.

“Krisis pendatang di sempadan Poland yang disebabkan oleh ‘kepemimpinan kejam Belarus’ juga merupakan satu daripada propaganda Rusia.

“Rusia mahu menjadikan keadaan di Ukraine semakin berbahaya dan sukar sehingga memaksa kepada penukaran kerajaan dan sekiranya usaha itu gagal, maka tentera akan campur tangan,” katanya kepada MIlitary Times.

Sehubungan itu, beliau manzahirkan harapan agar AS memberi sokongan penuh kepada Ukraine.

 

SOKONGAN AS TIDAK CUKUP?

“Kami berpendapat, sokongan AS terhadap Ukraine ketika ini tidak mencukupi dan kami perlukan lebih daripada itu.

“AS perlu berikan segala sokongan dan bantuan kepada Ukraine sebelum semuanya terlambat,” tegas Budanov. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya