MOSCOW: Rusia mengaku memusnahkan salah sebuah satelit miliknya di angkasa lepas ketika melakukan ujian peluru berpandu.
Bagaimanapun, bekas negara Soviet Union itu menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa tindakan berkenaan membahayakan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Isnin lalu, pegawai AS menuduh Rusia melancarkan ujian ‘berbahaya dan tidak bertanggungjawab’ terhadap satelitnya sehingga menyebabkan sejumlah besar serpihan di orbit dan memaksa kru di ISS mengambil langkah untuk mengelakkannya.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pihaknya berjaya melancarkan ujian peluru berpandu sehingga memusnahkan kapal angkasa, Tselina-D yang berada di orbit sejak 1982.
Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu berkata, pelancaran itu menggunakan sistem yang mampu mencapai sasaran dengan ‘tepat’.
“Serpihan yang terhasil itu tidak sama sekali menimbulkan sebarang ancaman terhadap aktiviti angkasa lepas,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Rusia.
Sebelum ini, pegawai AS menyatakan mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai ujian peluru berpandu antisatelit yang menyebabkan lebih 1,500 serpihan di orbit.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, keadaan bahaya itu belum berakhir dan serpihan tersebut akan terus mengancam satelit dan aktiviti di ISS.
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menyifatkan ujian peluru berpandu itu sebagai tindakan ‘melulu’ dan `membimbangkan’.
“Ia juga menunjukkan Rusia kini membangunkan sistem senjata baharu yang boleh menembak jatuh satelit,” katanya dalam satu mesyuarat bersama menteri-menteri pertahanan Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly dalam satu ciapan di Twitter membidas tindakan tersebut yang menghasilkan sejumlah besar serpihan berbahaya.
Kementerian Luar Jerman pula menyuarakan kebimbangan mengenai ujian peluru berpandu dan menggesa pendekatan segera dilaksanakan untuk memperkukuhkan keselamatan. – AFP