Rusia cuba bikin Ukraine 'panas' - Utusan Malaysia

Rusia cuba bikin Ukraine ‘panas’

RAKAMAN imej satelit menunjukkan unit pertempuran dan kelengkapan ketenteraan di Yelnya, Rusia. - MAXAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Ketika benua Asia semakin tegang susulan China giat menaik taraf pangkalan kem tentera udara berhampiran Taiwan, benua Eropah juga terpalit dengan isu hampir sama melibatkan Ukraine dan Rusia. 

Lapor CNN, kerajaan Rusia dilaporkan memindahkan kelengkapan ketenteraan sejauh 250 kilometer ke sempadan negara itu dengan Ukraine. 

Tentera Ukraine pula bersiap siaga dengan dron tempur di sepanjang garis pertempuran yang memisahkan negara itu dengan puak pemisah pro-Rusia di wilayah Donbas. 

Isnin lalu, Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Laksamana John Kirby berkata, Pentagon ‘menyedari laporan awam luar biasa’ mengenai aktiviti ketenteraan Rusia berdekatan Ukraine. 

Rakaman imej satelit menunjukkan kelengkapan Rusia termasuk meriam, kereta kebal tempur dan kenderaan tempur bergerak di padang latihan, kira-kira 300 kilometer dari kawasan sempadan Ukraine. 

Namun, Kementerian Pertahanan Ukraine memaklumkan, tiada rekod ‘pemindahan tambahan unit, senjata dan kelengkapan ketenteraan Rusia di sempadan Ukraine’.

Katanya, dianggarkan seramai 90,000 tentera Rusia ditempatkan ‘berdekatan sempadan dan di wilayah yang diduduki sementara serta di Laut Hitam’. 

Jelasnya, Rusia mewujudkan amalan ‘memindahkan dan mengumpul unit tentera untuk tujuan mengekalkan ketegangan di rantau ini serta memberi tekanan politik ke atas negara jiran’.

 

AS PANTAU RAPAT

Dalam pada itu, Kirby berkata, AS memantau rapat perkembangan terkini itu secara dekat.

“Saya tidak tahu apakah niat sebenar Rusia, tetapi kita memantau rantau itu dengan dekat seperti yang dilakukan sebelum ini. 

“Sebarang tindakan agresif akan menjadi perhatian utama AS,” tegasnya. 

Selasa lalu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menjelaskan tindakan pemindahan aset ketenteraan di sepanjang wilayah Persekutuan Rusia adalah hak eksklusif negara itu. 

“Rusia tidak pernah mengancam sesiapa mahupun melakukan ugutan serta tidak memberikan sebarang ancaman bahaya kepada mana-mana pihak,” katanya. 

Sementara itu, Michael Kofman dari Wilson Center yang mengkaji tentang aspek ketenteraan Rusia berpandangan tindakan Rusia patut diawasi dengan teliti. 

“Buat masa sekarang ini adalah situasi yang sedang berkembang. Ia bukan bermakna tiada apa-apa yang akan berlaku,” ulasnya.

 

RISAU HUBUNGAN NATO 

Strategi Moscow adalah bertujuan menghalang Ukraine mempunyai hubungan lebih rapat dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah, yang akan mencetuskan ketakutan kepada Rusia sekiranya berlaku tindakan pengepungan. 

Timbalan Menteri Luar Rusia, Andrey Rudenko berkata, tindakan Ukraine menyertai NATO akan menjadi satu langkah ‘amat berbahaya’ kerana akan mencetuskan tindak balas dari Rusia. 

Kebimbangan itu semakin terserlah apabila Ukraine menyertai NATO bersama beberapa bekas anggota Pakatan Warsaw, seperti Romania dan Poland. 

Bulan lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengulangi sokongan terhadap ‘orientasi semula’ Ukraine, menjanjikan sokongan berterusan demi kedaulatan Ukraine, integriti wilayah dan aspirasi Euro-Atlantik. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya