LONDON: Merebus udang karang secara hidup dalam air mendidih mungkin menyalahi undang-undang tidak lama lagi selepas satu kajian mendapati hidupan laut itu boleh merasai kesakitan seperti manusia.
Lapor Metro, kajian yang dilakukan oleh Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE) mendapati terdapat bukti saintifik kukuh bahawa haiwan tersebut mempunyai kapasiti untuk mengalami kesakitan dan bahaya.
Ini bermakna haiwan berkenaan akan diiktiraf sebagai makhluk hidup dalam Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan yang bakal dibentangkan.
“Kajian itu amat jelas bahawa decapod dan cephalopod boleh merasakan kesakitan, jadi adalah wajar haiwan tersebut juga dilindungi dibawah undang-undang penting ini,” kata Menteri Kebajikan Haiwan, Lord Goldsmith.
Sehingga kini, hidupan laut decapod membabitkan ketam, udang galah dan udang karang serta cephalopod termasuk sotong dikecualikan daripada rang undang-undang berkenaan.
Ia dikecualikan walaupun haiwan tersebut mempunyai sistem saraf pusat kompleks yang dilihat sebagai salah satu ciri utama sentience atau keupayaan makhluk dapat merasa.
“Selepas mengkaji lebih 300 kajian saintifik, kami membuat kesimpulan moluska cephalopod dan krustasea decapod harus dianggap sebagai makhluk hidup.
“Oleh itu, haiwan ini juga harus dimasukkan dalam skop undang-undang kebajikan haiwan,” kata Profesor di Pusat Falsafah Sains Semula Jadi dan Sosial LSE, Dr. Jonathan Birch.
Susulan kajian ini, Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) akan membentangkan pindaan kepada rang undang-undang tersebut di Parlimen untuk mengiktiraf perubahan itu.
Menurut Birch, pindaan itu juga akan membantu menghapuskan sebarang percanggahan terhadap haiwan tersebut.
“Sotong dan cephalopod lain dilindungi dalam sains selama bertahun-tahun namun setakat ini tidak pernah menerima sebarang perlindungan di luar sains,” katanya.