NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan maut atau hilang dalam kejadian banjir kilat di selatan India.
Berdasarkan beberapa laporan, bencana itu turut menyebabkan tiga bas yang sarat dengan penumpang dihanyutkan air.
Pasukan penyelamat mengeluarkan 12 mayat daripada tiga bas berkenaan yang dihanyutkan air di Andra Pradesh pada Jumaat lalu.
Lapor The NewsMinute, sekurang-kurangnya 18 lagi orang dilaporkan masih hilang.
Pakar meteorologi memaklumkan cuaca melampau dan tidak menentu yang melanda seluruh Asia Selatan didorong oleh perubahan iklim serta diburukkan lagi dengan penebangan hutan dan pembangunan secara meluas.
Bulan lalu, puluhan penduduk India maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat.
Menurut Pejabat Jabatan Meteorologi India, fenomena hujan lebat lebih kerap berlaku di beberapa kawasan selatan. – AFP