JOHANNESBURG: Bekas Presiden Afrika Selatan dan terakhir semasa era apartheid, FW de Klerk meninggal dunia semasa berusia 85 tahun di rumahnya di Fresnaye.
Yayasan FW de Klerk memaklumkan, mendiang menghembuskan nafas terakhir Khamis lalu, selepas bertarung melawan kanser mesothelioma.
Mendiang adalah pemimpin kulit putih yang berkongsi Hadiah Nobel Keamanan dengan Nelson Mandela, pada 1993.
De Klerk dikenang sebagai pemimpin yang berusaha memacu kemajuan negara ke arah demokrasi.
Beliau pernah menyampaikan ucapan penuh bersejarah semasa permulaan negara baharu bagi sesi pembukaan Parlimen 1990.
De Klerk pernah membebaskan Mandela dari penjara, menarik balik pengharaman parti politik, menamatkan darurat negara serta berunding untuk menamatkan isu perkauman.
Mendiang bagaimanapun hidup bagaikan tersisih selepas Afrika Selatan mencapai demokrasi kerana difahamkan tidak pernah mengakui kisah ngeri di sebalik tragedi apartheid yang menyaksikan penduduk majoriti kulit hitam ditindas.