JAKARTA: Polis Jawa Timur mengesahkan pemandu pasangan selebriti Indonesia, Vanessa Angel dan suaminya, Febri Andriansyah yang maut dalam nahas jalan raya baru-baru ini bermain telefon bimbit ketika memandu.
Jurucakap polis, Hendry Ferdinan Kennedy berkata, pemandu pasangan selebriti yang dikenali sebagai Joddy itu juga mengakui dia memandu pada kelajuan 120 kilometer sejam ketika nahas berlaku.
“Joddy memberitahu, dia sempat bermain telefon bimbit dan membuat ‘Instagram story’ ketika memandu.
“Sehubungan itu, kami sudah merampas telefonnya untuk dijadikan bahan bukti serta siasatan,” katanya.
Selain itu, polis juga belum dapat memastikan jika Joddy mengantuk ketika memandu dan siasatan rapi akan dilakukan segera.
Hendry memberitahu, Joddy berpotensi menjadi suspek utama dalam nahas tersebut.
“Polis juga akan mendapatkan keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Dalam insiden yang berlaku pada Khamis lalu, Vanessa dan suaminya maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Tol Jombang-Mojokerto.
Dua anak mereka dan pengasuh terselamat dalam kejadian itu.