NEW YORK: Ujian klinikal pil antiviral Covid-19 Pfizer dihentikan lebih awal selepas ubat itu menunjukkan keberkesanan sebanyak 89 peratus daripada kes kemasukan ke hospital atau kes kematian bagi orang dewasa yang berisiko mendapat penyakit yang teruk.
Hasilnya dilihat mengatasi pil molnupiravir yang dihasilkan oleh Merck, yang ditunjukkan bulan lalu untuk mengurangkan separuh kemungkinan kematian atau kes kemasukan hospital bagi pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi mendapat penyakit serius.
Reuters melaporkan, data percubaan penuh belum disediakan oleh syarikat tersebut.
Dekan Kesihatan Awam di Brown University School, Ashish Jha berkata, hasil percubaan Pfizer menunjukkan kesan yang menakjubkan.
“Implikasi terapeutik yang berkesan untuk menamatkan wabak adalah sangat besar,” ciapnya dalam Twitter.
Pakar penyakit berjangkit menjelaskan pencegahan virus Covid-19 menerusi vaksin masih kekal sebagai langkah terbaik mengawal penularan pandemik.
Namun, situasi semasa menunjukkan hanya 58 peratus rakyat Amerika Syarikat yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya serta akses di kebanyakan tempat di dunia masih terhad.
Pakar Pediatrik, Stanford University School, Prof. Dr. Grace Lee berkata, vaksin akan menjadi alat paling berkesan dan boleh dipercayai semasa pandemik.
“Ubat oral ini akan meningkatkan keupayaan kita untuk mengurangkan risiko penyakit teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.
“Bagaimanapun, ia tidak akan dapat menghalang jangkitan daripada terus berlaku,” jelasnya.
Menurut Pfizer, pihaknya merancang untuk menyerahkan keputusan percubaan sementara pilnya yang diberikan dalam kombinasi dengan antivirus lama yang dipanggil ritonavir kepada Badan Pengawal Ubat dan Makanan (BPOM) AS sebagai sebahagian daripada aplikasi penggunaan kecemasan yang dibuka Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam temu bual dengan CNBC berkata, keputusan itu dijangka diserahkan sebelum 25 November depan.
Syarikat itu memaklumkan akan menghasilkan sekurang-kurangnya 50 juta pil antiviral sehingga hujung tahun 2022.
Rawatan gabungan yang diberikan jenama Paxlovid terdiri daripada tiga pil yang diberikan dua kali sehari.