CHICAGO: Sebanyak 14 perompak dilaporkan menyerbu sebuah premis Louis Vuitton di pinggir bandar Chicago dan melarikan diri sejumlah barangan berjenama mewah itu yang dianggarkan bernilai AS$120,000 (RM501,471).
Sebuah rakaman video menunjukkan kumpulan perompak itu memasuki cawangan Louis Vuitton di Oak Brook Centre seorang demi seorang selepas pengawal keselamatan di premis tersebut keluar sebentar untuk berehat.
Sebaik sahaja kumpulan perompak itu berada dalam premis berkenaan, mereka mengeluarkan beg sampah dari jaket masing-masing lalu mengambil sebanyak mungkin produk yang ada di dalam kedai berkenaan.
Dalam beberapa saat sahaja, semua perompak berkenaan keluar melarikan diri dari premis itu yang terletak kira-kira 28.9 kilometer (km) di barat pusat bandar Chicago.
Menurut Ketua Polis Oak Brook, James Kruger kepada Fox News, pengawal keselamatan itu kemudian kembali semula ke tempat kejadian dan cuba menghalang kumpulan penjenayah tersebut namun mereka sempat melarikan diri dengan menaiki tiga kenderaan berasingan.
Katanya, pasukan polis berjaya menemukan satu daripada kenderaan digunakan kumpulan perompak tersebut.
Jelas Kruger, polis kini mempunyai maklumat mengenai kenderaan dan lesen suspek.
Kes kecurian di Chicago menyaksikan peningkatan sebanyak 14 peratus pada tahun ini iaitu melonjak daripada 9,424 kepada 11,093 kes.