LAGOS: Pasukan penyelamat berusaha mencari dan mengesan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan setinggi 21 tingkat yang masih dalam pembinaan di bandar Lagos, Nigeria, Isnin lalu.
Lapor AFP, setakat ini dilaporkan seramai 20 orang maut dan puluhan mangsa lain masih hilang.
Pasukan penyelamat memaklumkan mereka terdengar bunyi suara dari bawah runtuhan dan sembilan individu berjaya ditarik keluar hidup-hidup.
Di sebalik hujan lebat pada waktu malam, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan lampu limpah bagi meneruskan pencarian dengan menggali serpihan dan logam yang berpintal.
Ibrahim Farinloye dari Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria memberitahu AFP, pasukan penyelamat dapat berhubung dengan beberapa mangsa terselamat yang tertimbus dalam runtuhan tersebut.
Sementara itu, Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menggesa pasukan penyelamat di lokasi kejadian meningkatkan usaha menyelamat.
Ratusan ahli keluarga dan kenalan mangsa mengharapkan individu yang terperangkap masih selamat dengan setia menunggu di luar pekarangan kawasan runtuhan.
Fawas Sanni berkata, kakaknya yang bekerja di tapak pembinaan sebagai National Youth Service Corps masih berada di tapak binaan tersebut.
“Saya berhubung dengannya buat kali terakhir, sebelum dia pergi kerja pagi semalam,” katanya.
Punca apartmen mewah itu runtuh belum diketahui lagi.
Insiden runtuhan bangunan di Nigeria sudah menjadi satu kebiasaan apabila sebanyak 152 bangunan runtuh di Lagos antara 2005 hingga 2020.-AFP