WASHINGTON: Seorang penumpang yang panik tidak sengaja tertarik picu pistol sehingga menyebabkan tembakan berlaku di lapangan terbang antarabangsa Atlanta semalam.
Kejadian itu berlaku selepas bagasi yang dibawa penumpang tersebut menjalani pemeriksaan imbasan dan pihak berkuasa mengesan objek yang mencurigakan di dalamnya.
Ketika bagasi itu diperiksa, penumpang berkenaan panik lalu merampas pistol tersebut sehingga tertarik picunya.
Insiden itu menyaksikan orang ramai di lapangan terbang tersebut lari bertempiaran kerana menyangka ada serangan tembakan berlaku, dengan tiga daripadanya dilaporkan cedera.
Menurut Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), kecederaan yang dialami ketiga-tiga penumpang itu tidak serius dan mereka dalam keadaan stabil di hospital.
“Penumpang lain yang terkejut dengan bunyi tembakan itu lari bertempiaran meninggalkan lapangan terbang.
“Penumpang juga diarahkan supaya tidak menyentuh sebarang objek atau permukaan di lapangan terbang sehingga siasatan dilakukan,” jelas TSA.
Pemilik pistol itu kemudiannya melarikan diri dan polis sudah mengenal pasti identitinya.
Insiden itu menyebabkan lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup buat sementara waktu sebelum beroperasi semula selepas beberapa kam kemudian.
Beberapa video yang sempat dirakam di lapangan terbang itu menunjukkan orang ramai menjerit ‘tunduk!Tunduk!’ dengan ada dalam kalangannya berlindung di restoran dan berlari ke arah landasan.
Kejadian itu turut menyebabkan pesawat yang baru mendarat tidak membenarkan penumpang keluar kerana bimbang dengan situasi yang berlaku.
Sejak awal tahun ini, TSA mengesan lebih 450 senjata api cuba dibawa oleh penumpang di lapangan terbang tersebut. – AFP