JAKARTA: Jabatan Kebudayaan Jakarta menemukan sebuah batu giling yang dipercayai sebagai warisan bersejarah sejak abad ke-18.
Lapor Kompas.com, Ketua jabatan itu, Iwan Herry Wardhana berkata, batu berusia ratusan tahun tersebut ditemukan di Jalan TB Simatupang, Gedong, Pasar Rebo, Jakarta Timur dan di kampung Penggilingan, Cakung, sebelum dibawa ke Balai Budaya Condet bagi dipantau secara rapi.
“Ini adalah usaha menyelamat dan melindungi objek tersebut daripada rosak kerana selama ini berada di kawasan jalan atau terdedah tindakan vandalisme,” katanya.
Menurut Iwan, terdapat lima batu giling lain turut ditemukan di kawasan kampung Penggilingan.
Jelasnya, batu giling itu akan dipelihara melalui pembersihan dan pembaikan beberapa bahagian objek yang mengalami kerosakan.
“Kita akan membekalkan maklumat berkaitan sejarah penemuan batu tersebut, supaya pengunjung yang datang ke Pusat Kebudayaan Condet boleh mengetahui sejarah tersebut,” jelasnya.
Selain itu, batu giling lain turut ditempatkan di Muzium Sejarah Jakarta.
Batu giling dipercayai digunakan sebagai alat memproses tebu bagi menghasilkan gula sekitar abad ke-17 hingga ke-18.