JAKARTA: Ratusan tan besi milik syarikat PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC) yang membangunkan projek Kereta Api laju Jakarta-Bandung di kawasan Cipinang Melayu, Makasar, Jakarta Timur menjadi sasaran sekumpulan pencuri.
Lapor Kompas.com, berdasarkan rekod polis, sekurang-kurangnya empat jenis besi yang dicuri oleh penjenayah tersebut iaitu besi H beam, besi kanal, besi paip SCL dan besi skru.
Ketua Polis Jakarta Timur, Senior Komisioner Erwin Kurniawan berkata, kesemua besi yang dicuri itu adalah milik syarikat PT Wijaya Karya.
Katanya, besi tersebut digunakan dalam proses pembinaan kereta api tersebut.
Jelasnya, geng tersebut menjalankan modus operandi sejak enam bulan lalu.
“Geng pencuri itu berjaya menjual sebanyak 111,081 kilogram besi dengan kerugian mencecah lebih satu bilion rupiah (RM291,697),” katanya.
Susulan itu, pihak polis berjaya memberkas seramai lima pencuri, manakala, baki tujuh pencuri lain masih bebas dan pihaknya sudah menyenaraikan mereka dalam senarai individu yang dikehendaki.
Projek itu bakal memiliki landasan sepanjang 142.3 kilometer yang membolehkan kelajuan perjalanan sehingga 350 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 45 minit berbanding tiga jam jika menggunakan perkhidmatan kereta api biasa.
Projek tersebut mengunakan gerabak kereta api peluru dari China, CR400AF.