KENOSHA: Seluruh penduduk Amerika Syarikat (AS) bagaikan terkejut dengan keputusan juri membebaskan Kyle Rittenhouse daripada semua pertuduhan berkaitan insiden tembakan tiga lelaki di Kenosha, Wisconsin, Ogos tahun lalu.
Anggota Kongres dari Parti Demokrat, Cori Bush meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut yang didakwa melindungi ketuanan kulit putih.
“Hakim, juri dan defendan. Tindakan mereka membela ketuanan kulit putih. Sistem ini tidak dibina untuk mempertanggungjawabkan ketuanan kulit putih.
“Itulah sebabnya, orang kulit hitam dianiaya dan dimasukkan dalam penjara, sedangkan pembunuh ketuanan kulit putih berjalan bebas. Saya sakit, marah dan patah hati,” luahnya dalam ciapan Twitter.
Seorang remaja AS yang didakwa menembak mati dua penunjuk perasaan dalam rusuhan membantah kekejaman polis di Wisconsin tahun lalu, dibebaskan daripada semua pertuduhan, kelmarin.
Selepas melalui perbicaraan berprofil tinggi itu, juri mendapati Rittenhouse, 18, tidak bersalah atas pertuduhan termasuk membunuh dengan niat dan melepaskan tembakan melulu.
Rittenhouse yang mendakwa dirinya bertindak bagi mempertahankan diri, dilihat menangis teresak-esak sejurus keputusan dibacakan serta terduduk di kerusi sebelum memeluk peguamnya dan bergegas keluar dari kamar perbicaraan.
Sejurus keputusan diumumkan, penyokong Rittenhouse dilihat bersorak di luar bangunan mahkamah, manakala terdapat beberapa pihak lain pula melaungkan bantahan.
Dalam perbicaraan selama dua minggu itu, Rittenhouse memberi keterangan dia menembak mati dua lelaki dan mencederakan seorang lagi dengan menggunakan senapang separuh automatik AR-15 selepas diserang.
Namun, pendakwa raya menolak dakwaan tertuduh mempertahankan diri, sebaliknya menyatakan Rittenhouse yang berusia 17 tahun ketika itu ‘melakukan provokasi’ dalam kejadian berkenaan.
Rittenhouse dihadapkan dengan lima pertuduhan iaitu satu pertuduhan membunuh dengan niat, membunuh secara melulu dan cubaan membunuh dengan niat, serta dua pertuduhan membahayakan keselamatan secara melulu.
Dia boleh dihukum mandatori penjara seumur hidup atas pertuduhan membunuh dengan niat, jika sabit kesalahan.