LONDON: Seorang warga emas wanita dikenakan perintah larangan selepas dia enggan berhenti daripada memberi makanan lobak merah kepada seekor kuda lumba yang sudah bersara.
Margaret Porter, 67, dari Scruton, Yorkshire berbuat demikian setelah mendakwa kuda bernama Nelson itu kelihatan sedih dan terlalu kurus.
Lapor Daily Star, kuda itu diberikan perlindungan undang-undang tersebut bagi melindunginya daripada diberi makanan berlebihan.
Mahkamah Majistret York mendengar pertikaian kes Nelson diberi makan lobak berlebihan yang menjadi bahan bualan penduduk kampung di pinggir Yorkshire Dales.
Pendakwa raya membuat permohonan tersebut kepada Majistret York bagi pihak Nelson berikutan tindakan Porter memberi makanan selepas ternampak kuda itu berada di luar kandangnya dan menyangka kelihatan sedih.
Lapor Manchester Evening News, Porter menyangka Nelson kurang makan, jadi dia mula memberi lobak merah kepada haiwan itu walaupun sudah beberapa kali diminta untuk tidak berbuat demikian oleh pemilik kuda tersebut, Suzanne Cooke.
Pada sesi perbicaraan di mahkamah itu, Porter menceritakan insiden dia mula memberi makan kepada Nelson selepas melepasi kandangnya di pinggir kampung itu.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah majistret mendapati Porter bersalah dan mengenakan perintah larangan tersebut.