BEIJING: Pihak berkuasa global mengenai Holocaust memberi amaran dasar China yang menyasarkan penduduk etnik Uighur Islam di wilayah Xinjiang sudah meningkat pada tahap pembunuhan secara beramai-ramai.
Malah, pihak berkuasa global terkemuka itu turut menyamakan tindakan dilakukan negara berkenaan serupa dengan tragedi Holocaust.
Justeru, Muzium Peringatan Holocaust Amerika Syarikat (AS) menggesa dunia bertindak segera untuk menghentikan kekejaman tersebut.
“Muzium Peringatan Holocaust AS amat bimbang dengan tindakan kerajaan China yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Uighur.
“Kebebasan daripada hukuman yang dilakukan oleh kerajaan China setakat ini tidak boleh diteruskan lagi.
“Masa depan rakyat bergantung pada tindakan pantas dan diselaraskan oleh komuniti global,” jelas laporan baharu yang dikeluarkan oleh muzium berkenaan.
Holocaust merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi oleh tentera Nazi Jerman yang dipimpin Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua.
Laporan setebal 56 muka surat itu merupakan petanda baharu tindakan Beijing di Xinjiang yang membangkitkan kebimbangan bukan sahaja di Kongres dan White House malah dalam kalangan rakyat AS.
Laporan dari muzium itu juga mengandungi isu penganiayaan umat Islam Uighur termasuk penahanan dan pengawasan beramai-ramai, pensterilan secara paksa serta memusnahkan masjid.
Laporan tersebut diterbitkan oleh Simon-Skjodt Centre for the Prevention of Genocide di bawah muzium terbabit.
Muzium itu dilihat sebagai suara yang amat berpengaruh berhubung isu pembunuhan secara beramai-ramai.
Malah, muzium itu menerusi satu laporan dikeluarkan tahun lalu melabelkan situasi di Xinjiang sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
“Sejumlah besar perbuatan yang mungkin merupakan pembunuhan beramai-ramai jika dilakukan secara berniat terhadap komuniti Uighur.
“Ini termasuk mengakibatkan kecederaan serius dari segi fizikal dan mental, mengenakan peraturan bertujuan mencegah kelahiran bayi dalam komuniti tersebut dan memindahkan anak secara paksa ke kumpulan lain,” jelas muzium berkenaan.
Beijing berulang kali menafikan melakukan sebarang penindasan terhadap penduduk etnik Uighur.
China sebaliknya mendakwa penduduk etnik minoriti itu hanya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan, dididik dan dilatih untuk bekerja.
“Terdapat nilai-nilai ketuanan Han yang semakin meningkat dalam layanan kerajaan China terhadap penduduk Uighur.
“Ini secara tidak langsung merendahkan lagi nilai perikemanusiaan penduduk minoriti ini dan memupuk persekitaran ideologi pembunuhan beramai-ramai boleh dilakukan,” jelas muzium itu.
Sementara itu, jurucakap kedutaan China di Washington, Liu Pengyu berkata, semua kumpulan etnik di negara republik itu `hidup bersama dalam suasana harmoni’ dengan kesaksamaan, perpaduan dan bantu-membantu.
“Tidak pernah berlaku sebarang pembunuhan beramai-ramai di Xinjiang. Justeru, kami berharap pihak
berkaitan berhenti membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan AS dan sekumpulan kecil ahli Parlimen Eropah pernah melabelkan tindakan China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Malah, Presiden AS, Joe Biden dalam satu ucapan bulan lalu pernah mengaitkan hubungan antara rejim Nazi pada 1930an dan 1940an dengan dasar China diamalkan di Xinjiang pada masa ini. – AGENSI