LONDON: Satu video yang menunjukkan seorang ahli politik Vietnam menikmati hidangan berupa stik daging yang ‘dibalut dengan emas’ di sebuah restoran mewah di sini mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat negara itu.
Ahli politik dalam video tersebut merupakan Menteri Keselamatan Awam, To Lam dan beliau dilihat mencuba hidangan stik di restoran milik chef selebriti, Salt Bae.
Kelmarin, Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce dilaporkan meninggalkan restorannya selepas enam bulan beroperasi.
Tukang masak terkenal itu bakal berangkat ke Riyadh untuk membuka cawangan baharu restorannya.
Video tersebut yang pada mulanya dikongsikan oleh restoran tersebut menjadi tular di Vietnam sejak Jumaat lalu.
Kebanyakan rakyat Vietnam menzahirkan kemarahan terhadap To Lam yang disifatkan tidak sensitif dengan kesusahan yang dialami rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Ramai orang hidup susah akibat Covid-19, namun ahli politik senang-senang menikmati makanan mewah bertaraf dunia dan dikelilingi selebriti terkenal.
“Kerajaan sering mengadu tentang masalah kewangan tapi orang-orang mereka juga yang mencuri duit rakyat demi kehidupan mewah,” tulis pengguna Facebook, Pham Viet Duc menerusi satu hantaran.
Pengguna media sosial turut memuat naik gambar golongan kanak-kanak yang hidup susah di Vietnam.
Secara purata, rakyat Vietnam memperoleh pendapatan bulanan sebanyak AS$184 (RM765) pada tahun lalu.
Sementara itu, tidak dapat dipastikan bila video tersebut dirakam, namun To Lam berada di britain bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim (COP26).
Tiga tahun lalu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro juga pernah dikritik kerana makan di cawangan restoran yang sama di Turki. – AFP