PALMA: Sebuah pesawat Casablanca, Maghribi yang dalam perjalanan ke Istanbul terpaksa melakukan pendaratan cemas di Sepanyol selepas seorang penumpang mendakwa mengalami koma diabetes.
Pasukan paramedik dikejarkan ke dalam pesawat untuk memberi rawatan kecemasan kepada penumpang tersebut sebaik sahaja kapal terbang itu mendarat di Lapangan Terbang Palma de Mallorca, Jumaat lalu.
Namun, sebaik sahaja tiba di hospital, penumpang itu mendakwa dia sebenarnya tidak mengalami penyakit dan memalsukan situasi tersebut kerana ingin mendapatkan suaka.
Pendatang itu juga memberitahu, kira-kira 20 penumpang yang juga merupakan pendatang sempat melarikan diri selepas pesawat mendarat.
Katanya, kesemua rakannya terjun keluar dari pesawat menggunakan pintu yang terbuka selepas mendarat.
Polis menyifatkan insiden itu sebagai kali pertama berlaku dalam sejarah penerbangan yang dirancang dengan bijak oleh kesemua pendatang tersebut.
Akhbar El Pais melaporkan, pihak berkuasa masih meneliti sama ada insiden itu sengaja dicetuskan untuk membolehkan mereka masuk ke Sepanyol secara haram.
Sumber memaklumkan pendatang yang melarikan diri dari pesawat itu berkumpul di pintu keluar ketika pasukan paramedik tiba untuk merawat lelaki tersebut.
Penerbangan itu dikenal pasti sebagai pesawat kendalian Air Arabia Maroc Airbus A320 dan insiden tersebut menyebabkan semua operasi lapangan terbang tergendala selama hampir empat jam.