WASHINGTON: Hartawan Jeff Bezos meramalkan angkasa lepas bakal menjadi kediaman manusia dan mereka akan mengunjungi bumi untuk ‘bercuti’ pada masa hadapan.
Lapor Daily Mail, pengasas Blue Origin itu menjangkakan manusia akan dilahirkan di angkasa lepas dan hidup dalam silinder terapung gergasi dalam beberapa abad akan datang.
Katanya, silinder terapung itu mampu menempatkan sehingga sejuta orang dan mencipta semula graviti persekitaran bumi, lengkap dengan ‘sungai, hutan dan hidupan liar’ serta cuaca bersesuaian.
Hartawan itu membuat ramalan demikian ketika tampil mengejut dalam satu perbincangan mengenai dasar angkasa lepas Amerika Syarikat (AS).
Ia turut menampilkan Pentadbir Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Bill Nelson dan Pengarah Perisikan Kebangsaan, Avril Haines.
“Ramai orang akan lahir di angkasa lepas dan ia akan menjadi rumah pertama mereka dalam tempoh beberapa abad akan datang.
“Mereka akan dilahirkan di koloni itu, tinggal di koloni tersebut dan kemudian mereka akan mengunjungi bumi seperti melawat Taman Negara Yellowstone,” katanya.
Sebelum ini, Bezos pernah mengutarakan ideanya mengenai habitat untuk didiami di angkasa lepas yang dikenali sebagai ‘koloni O’Neill’
Beliau menamakan koloni berkenaan sempena nama ahli fizik, Gerard O’Neill yang mengemukakan teori bahawa planet-planet lain mungkin bukan tempat terbaik untuk menempatkan manusia di luar bumi.
Dalam satu pembentangan pada 2019, individu kedua paling kaya di dunia itu menyifatkan silinder sepanjang 4.82 kilometer (km) berkenaan mempunyai ‘pengangkutan berkelajuan tinggi’ dan ‘kawasan pertanian dengan beberapa rekaan untuk rekreasi’.