BIRMINGHAM: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai melangsungkan perkahwinan di Birmingham, semalam.
Lapor NBC News, aktivis kemanusiaan berusia 24 tahun itu membuat pengumuman tersebut dalam Instagram miliknya semalam.
“Hari ini (Selasa) merupakan detik paling bermakna dalam hidup saya.
“Saya mengikat tali pernikahan dengan Asser Malik untuk menjadi teman hidup. Kami mengadakan majlis pernikahan kecil-kecilan di rumah bersama ahli keluarga di Birmingham.
“Doakan kami yang sangat teruja untuk menjalani kehidupan pada hari mendatang bersama sebagai suami dan isteri,” katanya.
Malala dikenali sebagai aktivis di Pakistan sejak zaman remaja, dek lantang bersuara menentang larangan pendidikan kepada kanak-kanak perempuan yang dikenakan oleh Tehrik Taliban Pakistan (TTP) ketika itu.
Srikandi itu meraih perhatian dunia selepas terselamat daripada percubaan bunuh semasa berumur 15 tahun.
Pada 2014, Malala dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan berhubung usaha membela hak pendidikan kanak-kanak di Pakistan.