SINGAPURA: Seorang lelaki yang menikam anak perempuannya sebanyak 17 kali di perhentian bas dengan niat untuk membunuhnya, dihukum penjara selama 15 tahun hari ini.
Lelaki itu yang merupakan rakyat Malaysia, Shoo Ah San, 65, mengaku bersalah pada awal minggu ini dengan dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh dan memiliki senjata serangan di tempat awam.
Ah San merancang untuk membunuh anaknya yang merupakan wanita berusia 42 tahun yang tinggal bersama suaminya di Marsiling, sejak Jun 2019.
Niat itu muncul selepas dia melihat rumah keluarga mereka sudah diubah suai dengan baik di Taman Perling, Johor dan beranggapan kediaman itu sudah dijual.
Selain itu, tertuduh juga merancang membunuh diri selepas menikam anaknya dengan melompat dari blok rumah wanita itu di sini.
Ah San sebelum ini tidak dapat memasuki rumah keluarganya selepas anak lelakinya menukar kunci rumah dan masuk ke Singapura pada 17 Januri lalu untuk mencari anak perempuannya.
Apabila dia ternampak kelibat anak perempuanya berjalan menuju ke perhentian bas di Marsiling Lane sekitar pukul 5 pagi, Ah San berlari ke arahnya dan menikam wanita itu beberapa kali di bahu, dada dan belakang.
Sasaran tikaman Ah San yang pertama adalah bahagian leher, namun anaknya berjaya mengelak dan lelaki itu sempat melarikan diri seketika apabila perasan ada seseorang menghampiri mereka sebelum kembali semula ke lokasi kejadian.
Melihat anaknya belum mati, Ah San sekali lagi menikam anaknya bertubi-tubi dan berhenti selepas melihat darah mengalir keluar dari mulut anaknya.
Lima hari kemudian, Ah San ditahan polis ketika dia cuba mencari anak lelakinya.
Susulan insiden itu, anak perempuan Ah San mengalami kecederaan parah sehingga paru-parunya berhenti berfungsi seketika, selain perlu menjalani fisioterapi sehingga Jun 2021.