SYDNEY: Gara-gara berasa ‘bosan’ ketika perintah berkurung, seorang pemilik rumah di Australia membina pagar setinggi 579 sentimeter (cm) di sekeliling halaman belakang kediamannya.
Tindakan individu dikenali sebagai Ali menimbulkan kemarahan rata-rata jirannya yang menetap di kawasan perumahan di Chester Hill, Sydney.
Lapor Daily Mail, penduduk membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Cumberland Julai lalu, selepas mendapati pagar taman yang dibina itu menghalang sebahagian besar pemandangan luar.
Pagar yang dibina di rumah Ali berukuran tiga kali ganda lebih besar berbanding pagar taman yang standard.
Ali turut menamakan pagar yang dibinanya sebagai `Tembok Besar Chester Hill’.
Menurut Ali, dia membina pagar itu kerana ingin lebih privasi dan benci dengan pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
“Apabila terpaksa berada di rumah dan jiran melihat anda, sudah tentu anda merasakan seperti tiada privasi. Jadi saya bina pagar tersebut ketika pandemik Covid-19,” katanya.
Penduduk berkata, pagar itu dibina tanpa sebarang makluman dari pemilik rumah itu.
“Pagar itu menghalang sinaran matahari dan kami tidak dapat menyaksikan pemandangan indah lagi,” kata penduduk. – AGENSI