SINGAPURA: Singapura dan Malaysia bakal melancarkan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 29 November ini.
Pengumuman itu dibuat hari ini menerusi kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawatnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu mengadakan perbualan telefon.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menyedari pandemik Covid-19 menjejaskan hubungan antara penduduk Singapura dan Malaysia dan memisahkan keluarga selama beberapa bulan.
“Berdasarkan keadaan emakin pulih di kedua-dua negara menerusi program vaksinasi yang dilakukan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk membuka semula laluan udara antara Singapura dan Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Di bawah VTL, pengembara yang sudah lengkap vaksinasi boleh masuk ke Singapura serta Malaysia dan tertakluk kepada ujian Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai pembukaan sempadan darat yang menghubungkan kedua-dua negara. – AGENSI