PRETORIA: Pasukan saintis Afrika Selatan menjadi pihak pertama yang mengesan kemunculan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 atau dikenali dengan nama Omicron.
Sejak didedahkan penemuannya, seluruh dunia ‘goyah’ kerana bimbang varian baharu itu bakal melumpuhkan semua sektor global sekali lagi.
Hampir kebanyakan negara di seluruh dunia mengeluarkan larangan perjalanan ke Afrika Selatan serta larangan kemasukan dari negara itu.
Terkesan dengan situasi itu, pihak berkuasa Afrika Selatan menzahirkan kekecewaan kerana berpandangan mereka seolah-olah dihukum dan bukannya dipuji atas penemuan tersebut.
Kementerian Luar Afrika Selatan menerusi kenyataan memaklumkan, penemuan itu sepatutnya dilihat sebagai ‘kejayaan dalam mengesan bahaya varian Covid-19’, namun kini, mereka menjadi sasaran kebanyakan negara yang melihatnya sebagai ‘satu kesalahan’.
“Penemuan varian baharu itu sepatutnya mendapat pujian, bukannya dihukum.
“Situasi ini amat berbeza ketika beberapa negara lain menemukan varian baharu Covid-19 sebelum ini,” jelas kenyataan itu.
Kesatuan Afrika (AU) turut menyuarakan kekecewaan tersebut kepada BBC.
Menurutnya, kemunculan varian baharu itu disebabkan oleh ‘sikap sambil lewa’ kebanyakan negara membangun dalam memerangi Covid-19.
“Apa yang berlaku ketika ini adalah berpunca daripada kegagalan dunia dalam melaksanakan pengagihan vaksin Covid-19 secara adil.
“Banyak negara maju membolot bekalan vaksin sehingga negara miskin tidak mendapat bahagian mereka dan keadaan itu menyebabkan varian baharu muncul,” tegas AU.
AU juga mempersoalkan, mengapa perlu mengasingkan Afrika Selatan sedangkan varian baharu itu sudah pun ditemukan di tiga benua lain?
“Kesemua larangan kemasukan dan perjalanan ini bermotifkan politik semata-mata dan bukannya berdasarkan keperluan sains,” menurut badan tersebut.
MULA MENULAR
Beberapa kes positif kini dikenal pasti di Eropah dengan dua kes di United Kingdom (UK), dua di Jerman, satu di Belgium dan satu lagi di Itali.
Kes positif turut direkodkan di Israel, menyebabkan semua pengembara dari Afrika Selatan tidak dibenarkan memasuki wilayah itu.
Selain itu, varian Omicron turut dikesan di Botswana dan Hong Kong.
Penemuan Omicron mula dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November lalu.
Dalam pada itu, WHO memaklumkan jumlah kes jangkitan melibatkan varian baharu itu mula meningkat di hampir kesemua wilayah Afrika Selatan.
Persatuan Perubatan Afrika Selatan memaklumkan, kes jangkitan kini tidak serius, namun masih perlu berjaga-jaga bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
“Kebanyakan pesakit mengadu mereka mengalami lenguh badan dan kelesuan,” menurut persatuan tersebut.
AMBIL MASA UNTUK FAHAM
WHO menegaskan pihaknya memerlukan masa sehingga beberapa minggu untuk memahami kesan Omicron, sementara pasukan saintis bekerja keras untuk menentukan tahap kadar keberjangkitannya.
Pakar kesihatan UK memberi amaran vaksin yang ada ketika ini mungkin ‘kurang berkesan’ dalam membendung penularan varian baharu itu.
Namun, Ketua Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci mempunyai pandangan berbeza.
Katanya, vaksin Covid-19 sedia ada masih boleh mengelakkan komplikasi kronik sekiranya dijangkiti virus maut tersebut.
AS PUJI AFRIKA SELATAN
Di sebalik banyak negara seperti menyalahkan Afrika Selatan berhubung kemunculan varian baharu tersebut, AS pula memuji dan berterima kasih kepada negara ini.
AS menyifatkan tindakan pantas saintis negara ini yang berjaya mengesan Omicron boleh membantu dunia mengambil langkah sewajarnya, sekali gus mengurangkan risiko.
Pujian dan ucapan terima kasih itu disampaikan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ketika menghubungi Menteri Kerjasama dan Hal Ehwal Luar Afrika Selatan, Naledi Pandor.
Pujian itu secara tidak langsung ‘memberi tamparan’ kepada China yang didakwa sehingga ini sengaja menyembunyikan asal usul Covid-19.
Pelbagai sumber mendakwa virus maut itu dikesan buat pertama kali di Wuhan pada Disember 2019 sebelum menular di seluruh dunia.
China sehingga kini menafikan perkara tersebut dan enggan memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat WHO yang giat mencari asal usul virus berkenaan. – AFP/AGENSI