BEKASI: Kisah seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa disunat oleh jin menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk di Kampung Babakan RT 2/3 Mustika Sari di Mustika Jaya, Bekasi.
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu dikenali sebagai Rafly.
Kisahnya bermula selepas kanak-kanak itu mengadu dia berasa sakit pada bahagian alat kelaminnya ketika bermain seorang diri di depan gerai milik ibu bapanya.
Bapanya, Arman memberitahu, isterinya terus memeriksa alat kelamin anak mereka dan mendapati kulitnya bertukar merah.
“Keadaan alat kelamin anak saya sama seperti baru disunat.
“Rafly belum lagi disunat sebelum ini dan dia juga tidak pernah mengadu sakit pada bahagian itu,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapanya membawa Rafly ke klinik dan doktor juga pelik bagaimana alat kelamin anaknya kelihatan seperti baru disunat.
Selepas kejadian itu, Rafly dijaga oleh ibu bapanya seperti kanak-kanak yang baru bersunat.
Kanak-kanak itu hanya terbaring depan gerai ibu bapanya dengan mengenakan kain sarung.
Disebabkan kisah pelik itu, Rafly dan keluarganya dikunjungi ramai penduduk kampung yang mengetahui cerita sebenar.