WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris memangku tugas Presiden, Joe Biden buat sementara waktu disebabkan Biden menjalani rawatan bius untuk rutin kolonoskopi selama satu jam 25 minit.
Lapor CNN, Harris yang merupakan naib presiden wanita pertama berkulit hitam akan mengambil alih tugas dari pejabatnya di West Wing sepanjang ketiadaan Biden.
Jurucakap White House, Jen Psaki berkata, Biden tiba di Pusat Perubatan Walter Reed pagi Jumaat lalu, bagi menjalani rutin fizikal tahunan pertama sejak menjadi presiden.
Jelasnya, sudah menjadi rutin bagi seorang naib presiden mengambil alih kuasa presiden, sementara Biden menjalani prosedur perubatan tersebut.
Katanya, Biden menghantar surat kepada Speaker Dewan Senat, Nancy Pelosi dan Senator Demokrat, Patrick Leahy dari Vermont yang merupakan Presiden pro tempore sebelum menerima bius.
“Hari ini saya akan menjalani prosedur perubatan rutin yang memerlukan bius. Memandangkan keadaan sekarang, saya bertekad memindahkan sementara kuasa dan tugas jawatan Presiden AS kepada Naib Presiden sepanjang tempoh prosedur dan pemulihan,” tulis surat itu.
Semasa zaman pentadbiran Presiden AS, George W. Bush, Naib Presiden ketika itu, Dick Cheney turut memangku tugas presiden ketika Bush menjalani rutin kolonoskopi.