JAKARTA: Hakim Mahkamah Konstitusi (MK) menetapkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) perlu mengisytiharkan sama ada tempoh darurat pandemik Covid-19 sudah berakhir atau sebaliknya hujung tahun ini.
Lapor Kompas.com, Ketua Hakim MK, Anwar Usman berkata, pengumuman itu akan menentukan sama ada Undang-Undang Nombor 2, 2020 berkenaan Penetapan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang (Perppu) mengenai Pengendalian Covid-19 dikekalkan atau sebaliknya.
Katanya, perkara itu terkandung dalam Perkara 29 undang-undang tersebut yang sudah disemak semula oleh pihak mahkamah.
Undang-Undang tersebut hanya terpakai selama dua tahun sekiranya Jokowi mengumumkan pandemik Covid-19 berakhir.
Bagaimanapun, sekiranya pandemik belum berakhir hujung tahun ini, undang-undang tersebut masih terpakai.
Sebelum ini, undang-undang tersebut dicabar oleh Yayasan Penguatan Partisipasi, Inisiatif dan Kemitraan Masyarakat Indonesia (Yappika).
Peguam yang mewakili Yappika, Violla Reininda berkata, undang-undang yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan itu hanya bersifat sementara.
“Undang-undang itu tidak terpakai secara tetap dan hanya terhad semasa menangani Covid-19.
“Jadi Presiden Indonesia mesti mengumumkan sama ada status Covid-19 berakhir tahun ini atau melanjutkan tempoh darurat,” jelasnya.